mutakhir

Makna Ramadan buat Tania

Oleh Mohd Rafi Mamat

KUANTAN: Saya tak sabar untuk pakai baju baru pada pagi Aidilfitri nanti yang juga lebaran kali kedua saya sebagai Muslimah.

“Ilmu agama yang mula bercambah dalam diri ini pasti menambahkan keseronokan menyambut perayaan yang begitu bermakna selepas mengharungi Ramadan selama sebulan, ” kata remaja Orang Asli, Tania Afira Rosmadi, 18.

Dia antara 66 remaja Orang Asli yang menerima bantuan pakaian bagi menyambut Aidilfitri daripada Bahagian Zakat Unit Dakwah dan Mualaf Majlis Ugama Islam Pahang (Muip) di pusat pakaian Jakel di sini, semalam.

Mereka terdiri daripada pelajar Program Pembangunan Tamadun Masyarakat Asli (Petama) yang dilaksanakan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) dan mendapat tajaan Yayasan Pahang.

Tania Afira berkata, dia dan kakaknya, Rosfazlila, 20, memeluk Islam awal tahun lalu seterusnya mereka diterima belajar di Petama tahun ini bagi menambahkan lagi ilmu agama seterusnya berpeluang menguatkan lagi akidah.

Katanya, ibadah puasa dan Aidilfitri kali ini cukup bermakna padanya kerana Islam dalam dirinya mula bercambah dengan keimanan selepas mendapat didikan agama dengan sempurna oleh ustazah dan ustaz.

“Jiwa saya kini semakin tenang dan selesa selepas berpeluang melakukan tuntutan agama seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan belajar agama secara sempurna setiap hari.

“Peluang mendalami ilmu agama di Petama anugerah dari Yang Maha Esa,” katanya yang berasal dari Kampung Kemendul, Rompin.

Bagi Rosfazlila, Ramadan kali ini begitu bermakna padanya apabila dapat melakukan ibadah dengan sempurna selepas menerima didikan agama di Petama.

“Aidilfitri kali ini lebih meriah apabila kami mendapat pakaian baru dan wang saku untuk belanja raya. Saya tidak sabar menyambut raya bersama keluarga di kampung sambil menikmati pelbagai juadah istimewa,” katanya yang berketurunan suku kaum Jakun.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Islam Muip Sh Mohd Firdaus Sh Othman berkata, pihaknya menyediakan peruntukan RM9,900 untuk menyediakan pakaian kepada pelajar Petama.

“Setiap tahun pelajar Petama menerima bantuan khas pakaian raya disediakan Muip bagi memeriahkan lebaran bersama keluarga di kampung.

“Pelajar dibawa ke pusat pakaian Jakel untuk memilih sendiri baju kurung bagi wanita dan baju Melayu bagi lelaki,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 6:05am
d