mutakhir

Conteng bawa rugi

Oleh Muhammad Saufi Hassan

KUALA LUMPUR: Perbuatan menconteng secara keterlaluan termasuk contengan pada potret Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pada wang kertas sebenarnya mampu untuk menghilangkan nilai pada mata wang berkenaan.

Ia mungkin perbuatan ‘suka-suka’ oleh sesetengah individu tidak bertanggungjawab namun tindakan itu sebenarnya menghilangkan nilai mata wang dan jika dikembalikan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) sekali pun tidak akan diberi gantian.

Selain itu, tanpa disedari tindakan menggunakan wang kertas polimer untuk dijadikan gubahan pada hantaran majlis perkahwinan atau sebarang bentuk seni kreatif juga memungkinkan wang kertas itu akan rosak termasuk berisiko untuk hilang nilai.

Persepsi bahawa setiap wang kertas yang cacat seperti terkoyak di bahagian tertentu, wang yang digam dan beberapa keadaan lain menghilangkan nilai pada wang berkenaan adalah satu tanggapan yang salah.

Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat di negara ini kurang terdedah bahawa wang cacat itu boleh digantikan dengan merujuk kepada BNM.

Berdasarkan garis panduan BNM menjelaskan bahawa Mata Wang Sesuai ialah wang kertas atau syiling yang memenuhi kriteria dan standard kualiti untuk dikekalkan dalam edaran.

Jurucakap BNM berkata, pihaknya mempunyai prosedur tertentu apabila menerima wang kertas yang rosak termasuk wang daripada bahan polimer serta syiling daripada orang awam.

“Pihak bank akan membuat penilaian dan menggantikan wang berkenaan dengan nilai pampasan yang sewajarnya dan perlu dijelaskan bahawa penilaian terhadap wang kertas diterima BNM.

“Ia bukan berdasarkan kepada keadaan nombor siri wang kertas berkenaan seperti tanggapan segelintir pihak. Malah, ada pihak yang beranggapan wang yang koyak sudah tidak berguna lagi sedangkan keadaan sebenar adalah sebaliknya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, nilai gantian wang kertas cacat dibuat berdasarkan beberapa kriteria fizikal wang itu antaranya adalah saiz wang kertas lebih dua per tiga daripada saiz asal wang berkenaan.

Bagi keadaan itu, katanya, nilai gantian penuh akan dibuat manakala bagi fizikal lebih separuh wang kertas rosak tetapi kurang dua per tiga daripada saiz asal, nilai gantian adalah separuh.

“Wang kertas yang rosak dan hanya tinggal kurang separuh daripada saiz asal wang kertas, wang itu sudah tiada nilai. Perkara sama akan berlaku jika kelihatan contengan ketara terutamanya pada potret YDPA, tidak mempunyai nilai sama sekali.

“Syiling yang berlubang, pecah dan dipotong, tidak ada nilai bagi syiling berkenaan. Orang ramai perlu faham tentang prosedur ini dan tidak sewenangnya menyifatkan wang itu tiada nilai jika belum dirujuk kepada BNM,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 6:11am
d