mutakhir

9,000 koleksi

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SETIAP orang mempunyai hobi berbeza. Begitu juga Siti Zainab Endol, 33, yang obses mengumpul sampul duit raya sejak di bangku sekolah. Kini, dia memiliki lebih 9,000 koleksi sampul duit raya yang dikumpulnya sejak 20 tahun lalu.

Koleksinya terdiri daripada pelbagai corak yang unik dan jarang dijumpai terutamanya sampul duit raya keluaran 1990-an.

Siti Zainab berkata, koleksinya membabitkan sampul duit raya keluaran bank tempatan dan luar negara dengan reka bentuk serta corak yang pelbagai.

“Koleksi sampul duit raya ini membabitkan setiap perayaan di Malaysia seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Krismas.

“Setiap tahun saya akan ke bank untuk mendapatkan sampul duit raya bagi menambah koleksi,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah lama terbabit dengan hobi itu, tetapi dia baru kembali aktif awal tahun ini.

“Sebelum ini, semua koleksi disimpan dalam kotak tetapi kini, ia disusun dalam album supaya lebih teratur.

“Saya melakukannya selepas melihat ramai pengumpul sampul duit raya di media sosial melakukan perkara sama,” katanya.

Menurutnya, biarpun sekadar hobi tetapi dia turut menjual sebahagian koleksi sampul duit raya berkenaan kepada pengumpul lain.

“Baru-baru ini saya menjual koleksi 1980-an dan 1990-an pada harga RM600.

“Seperti barangan antik lain, sampul duit raya juga mempunyai nilai pasaran semasa dan harganya bergantung kepada usia sampul itu,” katanya.

Katanya lagi, kesemua koleksi itu ditempatkan di satu sudut dalam rumahnya sebagai hiasan malah ia menjadi tumpuan saudara yang berkunjung.

“Empat anak memahami minat saya dan ada kalanya, mereka turut membelek koleksi berkenaan sebelum menyimpannya semula,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 6:15am
d