mutakhir

Sanggup bida RM35,000

Oleh Noorazura Abdul Rahman

JITRA: Bandar Darul Aman bukan bandar besar jika dibandingkan dengan Alor Setar. Namun, bandar ini sangat unik dengan tarikan pengunjung yang luar biasa terutama di bazar Ramadan sehingga peniaga sanggup membida sewa mencecah RM35,000.

Peniaga, Mohd Suhaili Suhaimi, 32, berkata, dia tidak kisah membida harga sewa RM35,000 bagi sebuah tapak di tengah dan bertentangan sebuah pasar raya kerana tahu pulangannya juga luar biasa.

Katanya, sewa berkenaan paling tinggi berbanding kadar sewa dibida tahun lalu iaitu RM32,000.

“Tahun ini saya berani membida hingga RM35,000 daripada Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKB) sedangkan harga sewa dibuka bagi keluasan tapak 6x6 meter (20’x20’) adalah RM6,000.

“Peniaga akan membida dengan harga bermula RM10,000 sehingga pada harga tapak saya sekarang.

“Ini tahun kedua saya berniaga di sini dan tahun lalu, saya juga pembida tertinggi,” katanya yang berasal dari Tapah, Perak.

Menurut Mohd Suhaili, sebelum ini dia hanya berniaga di sekitar Perak, tetapi apabila dimaklumkan berniaga Bandar Darul Aman ‘laku keras’, dia terus mencuba.

“Ternyata ia memang benar apabila saya mencatat jualan baju raya lebih RM200,000 hingga pagi raya pertama tahun lalu,” katanya yang berasal dari Tapah, Perak.

Pemuda dikenali sebagai Bob berkata, pada tahun ini dia yakin dapat mencapai sasaran jualan RM300,000 apabila menawarkan harga pakaian berpatutan dan mampu milik.

Bagi pesaingnya, Mohd Asim Ahmad, 26, mengaku menjadi pembida sewa kedua tertinggi iaitu RM29,000 bagi keluasan tapak sama bersebelahan tapak Bob.

Katanya, dia juga tidak kisah melabur wang sebanyak itu berikutan tiga tahun berniaga di lokasi berkenaan.

“Saya difahamkan kami antara peniaga yang berani membuat bidaan sewa tertinggi, jika di Kuala Lumpur harga sewa tinggi, tapi saya difahamkan peniaga menyewa atas penyewa, tapi kami berurusan terus dengan MPKP. Tahun lalu saya sewa dengan harga RM21,000 dan pada 2017 menyewa dengan kadar RM18,500.

“Sambutan di sini sangat berbaloi, jadi tidak hairan rata-rata peniaga berani menyewa dengan harga tinggi kerana pelanggan akan mula ramai pada hari gaji atau minggu ketiga berpuasa terutama selepas kerajaan mengumumkan imbuhan raya.

“Saya yakin lebih ramai akan mula beli-belah di sini,” katanya yang berasal dari Pendang.

Pemuda berpengalaman 10 tahun dalam perniagaan di tapak ekspo mengakui yakin dapat mencapai sasaran jualan RM300,000 kali ini.

Katanya, tempat berniaga strategik ditawarkan MPKP menjadi antara faktor bazar di situ mendapat sambutan luar biasa.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 6:25am
d