mutakhir

Periksa 83 lori balak

Oleh Mohd Rafi Mamat

MAKLUMAT tidak lengkap selain ukuran kayu balak tidak sama dengan catatan pada pas memindah antara kesalahan dikesan sepanjang ‘Ops Ronda’ di lapan daerah di Pahang yang berakhir kelmarin.

Operasi dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu membabitkan sekatan jalan raya di beberapa laluan utama jalan negeri dan Persekutuan.

Pengarah JPNP,Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, antara kesalahan yang turut dikesan ialah kesilapan spesies balak, jumlah kayu atas lori tidak sama yang tercatat pada pas memindah dan maklumat lesen kawasan pembalakan pada lori tidak tepat.

“JPNP memandang serius kesalahan dilakukan pihak terbabit kerana ia boleh mengakibatkan pengurangan cukai hasil hutan selain mengundang banyak masalah lain.

“Bagi kesalahan membabitkan pas memindah tindakan menukar dokumen dilakukan, amaran keras juga dikeluarkan kepada pemandu lori supaya tidak mengulangi kesalahan sama bagi mengelak tindakan undang-undang.

“Operasi membabitkan 13 anggota Unit Penguat kuasa Timur JPNP dan JPJ menahan dan membuat pemeriksaan terhadap 83 lori balak sepanjang operasi dijalankan,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, rondaan juga dilakukan membabitkan jarak 1,107 kilometer (km) termasuk laluan sempadan Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu yang menjadi pintu keluar hasil hutan terutama balak.

Katanya, bagi mengesan kegiatan memindahkan balak tanpa permit pengeluaran, jabatan tidak hanya tertumpu di kawasan hutan sahaja tetapi juga turut membabitkan lori balak di jalan raya.

“Kegiatan memindahkan balak tanpa permit atau kayu curi kebiasaan dilakukan pada waktu malam hingga pagi membabitkan beberapa laluan panas di negeri ini.

“Operasi sekatan jalan raya dan pemeriksaan terhadap lori balak secara mengejut dilakukan dari masa kesemasa dengan bantuan JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengatasi masalan ini daripada terus berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 10:14am
d