mutakhir

Perhilitan buka permit buru ayam hutan

Oleh BERNAMA

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka membuka pemohonan permit bagi menangkap ayam hutan kepada orang ramai bermula 1 Mei sehingga 31 Ogos ini.

Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd Hasdi Husin berkata, orang ramai yang berminat boleh membuat pemohonan di pejabat Perhilitan berdekatan dengan harga RM10 bagi setiap ekor.

“Permit menangkap ayam hutan dibuka secara bermusim dan pada kali ini ianya dibuka bagi memberi peluang kepada orang ramai merasai daging ayam hutan untuk dijadikan lauk sempena jaudan bagi berbuka puasa dan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya daging ayam hutan yang berbeza daripada ayam daging dan ayam kampung mempunyai peminatnya tersendiri.

Beliau berkata sekiranya orang ramai dapat mengkap ayam hutan yang masih hidup dan berminat untuk membelanya mereka boleh memohon permit untuk membela ayam hutan dengan kadar yang sama iaitu RM10 seekor.

Mohd Hasdi berkata, pihak turut mengalu-alukan jika ada pihak yang ingin menternak ayam hutan secara komersial.

“Mereka yang berminat boleh menghantar kertas kerja dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemohonan akan dihantar ke Ibu Pejabat Perhitan unttuk diproses,”katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 10:58am
d