mutakhir

Jumpa mayat bayi selepas Subuh

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

MAYAT bayi perempuan yang bertali pusat dipercayai baru dilahirkan ditemui di hadapan surau Madrasah Haji Sulaiman, Kampung Padang Kota, Sering, hari ini.

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui pada 7.20 pagi oleh penduduk tempatan selepas selesai menunaikan solat Subuh.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebaik penemuan itu, orang awam memaklumkan kepada pihak polis.

Katanya, mayat bayi itu dibungkus dengan sehelai kain sarung batik dan diletakkan di atas bangku di hadapan surau berkenaan.

“Pada 6 pagi, jemaah surau melihat satu bungkusan menggunakan kain batik berada di luar surau, namun meneruskan solat Subuh terlebih dahulu.

“Sebaik selesai solat, seorang jemaah kemudian membuat pemeriksaan dalam kain sarung batik itu dan menemui mayat bayi perempuan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, mayat berkenaan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyumbunyikan kelahiran.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya tampil ke balai polis berdekatan.

“Polis juga sedang mencari ibu bayi itu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 12:17pm
d