mutakhir

Sumbangan RM54,400 untuk anak yatim [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM54,400 kepada anak yatim di Masjid Taman Padu Permai, Sungai Besar.

Sumbangan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) yang disampaikan baginda membabitkan wang tunai RM100 kepada setiap 544 anak yatim di daerah Sabak Bernam bagi membantu meringankan beban menyambut Aidilfitri bulan depan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Baitulmal memperuntukkan geran tetap sebanyak RM500,000 bagi menyalurkan sumbangan kepada anak yatim di Selangor pada tahun ini.

Beliau berkata, YIDE juga memperoleh baki selebihnya daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.

“Sabak Bernam merupakan daerah ketiga yang menjadi lokasi penyampaian sumbangan anak yatim selepas daerah Klang dan Petaling.

“Sumbangan kepada dua daerah ini (Klang dan Petaling) membabitkan peruntukan sebanyak RM274,500 pada minggu lalu,” katanya kepada Harian Metro.

YIDE dimiliki sepenuhnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang dipertanggungjawabkan dengan rumah kebajikan anak yatim di negeri itu, manakala Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah penaung Diraja sejak ia ditubuhkan pada 2011.

Selain menyalurkan bantuan kepada anak yatim di Selangor, YIDE turut menyediakan bantuan kepada mangsa bencana selain menawarkan perkhidmatan dialisis kepada pesakit buah pinggang di Selangor.

Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 2:17pm
d