mutakhir

Jenazah SM Mohamed selamat dikebumikan

Oleh Shamsul Munir Safini

JENAZAH SM Mohamed Idris yang meninggal dunia semalam selamat dikebumikan 10.45 pagi, hari ini di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak.

Jenzazah arwah yang juga Presiden Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Sekitar disembahyangkan di Masjid Hashim Yahaya dan disertai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar.

Sebelumi itu, suasana di kediaman arwah di Pulau Tikus dipenuhi sahabat handai, saudara dan orang ramai yang datang menziarahi sejak malam tadi.

Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas tiba pada 8.30 pagi bagi menziarahi jenazah diikuti dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang tiba sejam kemudian.

Anwar berkata, arwah adalah seorang insan yang mudah berbincang yang jarang dilihat masa kini dan sebagai muslim yang bertakwa pendekatannya penuh dengan sabar dan mudah.

“Dia akan dikenang dan kehebatannya tidak hanya boleh dilihat daripada segi perjuangannya dalam isu pengguna.

“Arwah juga lantang bersuara mempertahankan hak kumpulan gelandangan , setinggan dan sebahagian daripada pejuang kepada keadilan dan perubahan di dalam negara. Saya mendoakan arwah diberikan ganjaran atas usahanya itu,” katanya.

SM Mohamed menghembuskan nafas terakhir pada 5 petang semalm di Pusat Perubatan Gleneagles ketika berusia 93 tahun.

Arwah meninggal dunia akibat sakit tua dan meninggalkan empat anak.

Berita berkaitan:

  • Perginya pejuang hak pengguna
  • Presiden CAP, SAM meninggal dunia
  • Disiarkan pada: May 18, 2019 @ 2:42pm
    d