mutakhir

10 laluan panas pindah balak curi

Oleh Mohd Rafi Mamat

JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengesan terdapat lebih 10 laluan panas yang digunakan sindiket mencuri dan memindahkan balak di negeri itu.

Antara laluan itu ialah Jalan Keratong-Segamat, Johor; jalan Keratong-Bahau, Negeri Sembilan dan Paloh Hinai-Belimbing, Kuantan.

Pengarah JPNP Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, laluan itu adalah bersempadan dengan negeri jiran seperti Johor, Kelantan, Terengganu dan Selangor.

“Pegawai serta anggota Unit Penguat kuasa Pahang Barat dan Timur akan melakukan rondaan secara berjadual bagi mengesan kegiatan memindahkan balak curi sepanjang Ramadan dan cuti Aidilfitri ini.

“Walaupun sindiket itu menggunakan khidmat pemberi maklumat atau tonto namun itu bukan penghalang kepada kami menumpaskan mereka,” katanya ditemui pada Majlis Iftar JPNP di Kuantan semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengesan beberapa kilang papan terletak di negeri jiran menerima balak curi.

Katanya, rondaan lebih kerap dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dilakukan bagi mengesan lori membawa balak curi.

“Kita memandang serius kegiatan ini (mencuri balak) kerana ia menyebabkan kehilangan pendapatan kerajaan negeri,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 10:48am
d