mutakhir

Seludup mercun menerusi tasik kantoi

Oleh Zuliaty Zulkiffli

TAKTIK baru penyeludupan menggunakan Tasik Ah Ning sebagai tempat menyeludup mercun dan bunga api dari sempadan negara jiran terbongkar apabila lelaki tempatan ditahan polis semalam.

Polis turut merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dipercayai diseludup menggunakan laluan air dari Sebayoi, Thailand ke Tasik Ah Ning, Padang Terap.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, kejadian berlaku 12.30 tengah hari semalam, sepasukan anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap menjalankan tugas rondaan dan risikan sempadan Malaysia-Thailand di kawasan sekitar Tasik Ah Ning di Padang Sanai dekat sini.

Beliau berkata, anggotanya tiba 11 pagi di tepi tasik yang menjadi tempat pendaratan nelayan tempatan di Tasik Ah Ning.

“Ketika tiba di lokasi itu, anggota ternampak kenderaan pacuan empat roda hitam jenis Mitsubishi berhampiran tebing air tempat pendaratan nelayan dalam keadaan mencurigakan.

“Pengadu dan pasukan kemudiannya menghampiri kenderaan itu dan mendapati terdapat seorang lelaki berada di kerusi tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noh berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemandu itu berusia 36 tahun dan beralamat di Kampung Padang Nyior, Mukim Padang Terap Kiri, dekat sini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan itu mendapati terdapat 20 kotak mercun dan bunga api pelbagai jenama yang disyaki diseludup dari negara jiran.

“Antaranya termasuklah empat kotak Happy Boom mengandungi 200 kotak kecil, (4) kotak bercetak A-667-50/24/6 mengandungi 200 kotak kecil mercun dan bunga api, dua kotak tanpa jenama yang mengandungi 176 unit magical shot.

“Enam kotak bercetak 4036 mengandungi 36 shot cake mengandungi 72 unit dan empat kotak bercetak 8826 firecracker mengandungi 1,200 kotak kecil,” katanya.

Noh berkata, selain itu suspek turut menunjukkan satu longgokan kotak di atas tanah yang berada tiga meter di belakang kenderaan itu mengandungi 16 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api.

Beliau berkata, antaranya termasuklah dua kotak mengandungi 60 kotak kecil sparklers, dua kotak bercetak 49 shot mengandungi 24 unit, dua kotak bercetak fireworks mengandungi 80 kotak kecil thunder crackling clap, dua kotak bercetak fireworks mengandungi 80 kotak kotak kecil thunder crackling clap.

“Selain itu, dua kotak bercetak 4138B shot cake dan lapan kotak bercetak 4025 shot cake mengandungi 128 unit,” katanya.

Noh berkata, suspek mengaku semua mercun dan bunga api itu dibawa masuk melalui negara jiran dan modus operandi terbaru menggunakan laluan air di Tasik Ah Ning itu digunakan untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, laluan darat yang membolehkan kenderaan masuk sehingga hampir ke tebing tasik dibina oleh penyeludup bagi tujuan itu.

“Nilai mercun dan bunga api yang dirampas RM70,000.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 2:07pm
d