mutakhir

[UPDATE] Berhimpit macam sardin

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

EMPAT belas warga asing yang terbabit kemalangan di Kilometer 190.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat susur keluar Plaza Tol Bukit Merah, Bagan Serai hari ini dipercayai diseludup masuk oleh sindiket penyeludupan ke negara ini.

Difahamkan, ia berdasarkan siasatan awal polis selepas tidak menemui dokumen pengenalan diri dan keadaan kumpulan warga asing itu yang berhimpit di dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X -Trail

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, tiga maut, 11 cedera termasuk tujuh parah adalah warga Myanmar manakala pemandu kenderaan itu dipercayai warganegara itu melarikan diri selepas kemalangan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati SUV itu dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan dan mereka tiada dokumen pengenalan diri.

Katanya, polis percaya kumpulan membabitkan 13 lelaki dan seorang wanita itu cuba diseludup ke satu kawasan tertentu dan mereka berhimpit seperti ‘sardin’ di dalam SUV itu.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti sindiket terbabit dan punca kemalangan itu dipercayai adalah disebabkan hilang kawalan sebelum terbabas merempuh penghadang jalan.

“Kemalangan itu mengakibatkan tiga warga Myanmar tercampak keluar dari SUV dan terjatuh ke bawah jambatan lebuh raya iaitu di Jalan Tali Air Kampung Tebuk Panchor dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Tujuh penumpang parah manakala empat lagi cedera dan mereka dihantar ke Hospital Parit Buntar serta Hospital Taiping untuk rawatan manakala pemandu SUV menghilangkan diri,” katanya ketika dihubungi.

Zakaria berkata, mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan polis sudah menahan empat warga asing yang cedera untuk siasatan.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob akan mengadakan sidang media 4 petang ini berhubung kejadian itu.

Berita berkaitan

Tiga maut, 11 cedera SUV terbabas

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 2:40pm
d