mutakhir

6,000 sudah jalani saringan kesihatan

Oleh Shaarani Ismail

LEBIH 6,000 penerima manfaat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), sudah melakukan saringan kesihatan yang dilaksanakan di 1,762 Klinik Kesihatan Kerajaan dan swasta berdaftar di seluruh negara sejak diperkenalkan 15 April lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perkembangan itu dilihat sangat menggalakkan berikutan tahap kesedaran tinggi penerima untuk melakukan saringan kesihatan.

“Kita lihat setakat ini sambutan (yang diterima) itu sangat menggalakkan dan dari segi jumlah doktor yang terbabit dalam program ini setakat Mei lalu ada hampir 1,000 doktor dari klinik swasta dengan jumlah pesakit mencecah 6,000 yang sudah menjalankan saringan kesihatan.

“Dari segi doktor yang mengendalikan saringan, sekurang-kurangnya 46 doktor sudah membuat saringan kepada 50 pesakit malah ada satu klinik sudah pun membuat saringan kepada lebih 360 pesakit.

“Perkembangan ini sangat baik kerana dalam masa tidak sampai sebulan (jumlah menerima rawatan meningkat) dan ia juga sangat menggalakkan, kita yakin dapat mencapai sasaran 800,000 pesakit menggunakan skim ini tahun ini dengan peruntukan disediakan RM100 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kesedaran Kesihatan anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak bersama Hospital Pantai Ipoh di Ipoh hari ini.

PeKa B40 yang dilancarkan bulan lalu memfokus kepada jalinan kerjasama awam dan swasta bagi membantu kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dengan mengutamakan perkhidmatan klinik perubatan swasta umum (GP) yang sudah berdaftar.

Di samping manfaat utama iaitu saringan kesihatan kepada kumpulan sasar, PeKa B40 juga memberi manfaat lain seperti bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Terdahulu, mengulas penganjuran kempen kesedaran kesihatan yang dilaksanakan, Dr Boon Chye berkata, Kementerian Kesihatan sering menekankan pentingnya rakyat Malaysia melakukan pemeriksaan dan saringan kesihatan kerana mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

“Untuk masalah kanser misalnya, 40 peratus daripada punca boleh dicegah melalui gaya hidup sihat antaranya dengan mengurangkan dan mengawal berat badan, mengurangkan pengambilan minuman beralkohol dan tidak merokok.

“Ini antara langkah yang boleh dilakukan untuk mencegah kanser, ramai yang tahu merokok adalah tabiat berbahaya yang boleh mengakibatkan kanser dan sakit berkaitan jantung tetapi ramai juga tidak mengetahui bahawa masalah berat badan berlebihan juga merisikokan mereka untuk mendapat 13 jenis kanser selain masalah kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Justeru katanya, amalan hidup sihat perlu sentiasa diamalkan bagi memastikan risiko berdepan masalah berkaitan jantung, kencing manis, darah tinggi dan kanser dapat dikurangkan.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 3:06pm
d