mutakhir

[UPDATE] Datuk Seri sudah serah diri

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

DATUK Seri yang diburu polis bagi membantu siasatan kejadian serangan terhadap sebuah pusat hiburan di Scott Garden, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur 3 Mei lalu menyerah diri Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, lelaki itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields 3 petang.

“Lelaki itu hadir bersama peguamnya untuk diambil keterangan sebelum dia dilepaskan hari sama dengan jaminan polis.

“Sehingga kini, seramai 15 individu sudah ditahan termasuk Datuk Seri berkenaan. Bagaimanapun, semua individu terbabit dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Alzafny berkata, siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan termasuk mengesan beberapa saksi serta suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian terbabit.

“Setakat ini, hanya dua individu menyerah diri daripada tiga lelaki yang diburu sebelum ini iaitu Datuk Seri berkenaan serta seorang pengawal keselamatan.

“Seorang lagi individu dikehendaki kini berada di luar negara dan dijangka menyerah diri minggu depan sebaik pulang ke Malaysia nanti,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim memaklumkan pihaknya memburu beberapa individu termasuk Datuk Seri berkenaan bagi membantu siasatan kejadian serangan terhadap pusat hiburan di Scott Garden, Jalan Klang Lama 3 Mei lalu.

Menurut Mazlan, Datuk Seri yang pernah terbabit memukul tiga anggota RELA pada 2017 itu dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan berkenaan yang dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap dikenali Geng 21 dari Ampang, Selangor.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 40 individu bersenjatakan parang, batang kayu dan belantan dipercayai ahli kongsi gelap menyerang serta merosakkan pusat hiburan berkenaan pada 9.20 malam.

Ketika kejadian, pusat hiburan berkenaan dikatakan baru memulakan operasi sebelum didatangi kumpulan lelaki terbabit.

Kumpulan berkenaan dikatakan melulu masuk ke dalam premis itu sebelum memecahkan meja, kerusi, televisyen, gelas, kabinet dan barangan perhiasan tetapi kejadian itu tidak membabitkan sebarang kecederaan dan mangsa.

Berita berkaitan:

  • Bawa geng serang pusat hiburan
  • 9 samseng sudah ditahan

    [UPDATE] Datuk Seri antara empat individu diburu polis

    Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 4:00pm
    d