mutakhir

Nekad ibu tunggal bawa rahmat

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

IBU tunggal tujuh anak diumumkan sebagai penerima Anugerah Prestasi Cemerlang pada Sambutan Hari Pemulihan 2019 peringkat Sandakan, semalam.

Juhaifah Sahaari, 39, dinobat sebagai penerima anugerah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sandakan selepas pulih sepenuhnya sejak mendapatkan rawatan tiga tahun lalu.

Juhaifah yang tidak segan menceritakan kisahnya memberitahu dia mahu membantu orang lain dengan berkongsi caranya menjauhi bahan terlarang berkenaan.

Mengimbas kembali detik dia mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah, Juhaifah berkata, ketika berusia 20 tahun, dia yang sudah berkahwin berdepan masalah rumah tangga.

Katanya, atas sebab itu dia lebih suka melepak bersama rakannya yang sudah biasa mengambil bahan terlarang berkenaan.

“Satu hari, ada majlis hari jadi rakan yang turut menghidangkan minuman alkohol. Pertama kali saya minum pada malam itu sehingga mabuk.

“Selepas itu, saya pun kerap terikut ajakan rakan untuk menagih dadah bersama mereka.

“Saya semakin ketagih sehinggalah ditangkap pada 2011 untuk kali pertama,” katanya kepada Harian Metro.

Juhaifah berkata, selepas dibebaskan setahun kemudian, dia dicekup polis untuk kali kedua atas kesalahan sama.

Katanya, selepas ditangkap kali kedua, dia mula insaf dan nekad menyertai rawatan serta pemulihan AADK.

“Mereka mengajar saya cara mengelak daripada rakan dan cara menjauhi dadah.

“Alhamdulillah, pada 2015, saya pulih sepenuhnya namun sepanjang waktu itu pelbagai dugaan saya lalui termasuk kata-kata kesat dan pandangan negatif orang sekeliling,” katanya.

Menurutnya, pelbagai dugaan terpaksa dihadapi termasuk pernah dituduh melepaskan gian menagih dadah hanya kerana mandi lama di dalam tandas.

“Ketika itu, hati saya bagaikan hancur. Tetapi ibu saya yang berusia 70 tahun dan tujuh anak saya semuanya tidak pernah mengabaikan saya.

“Anak sulung lelaki sentiasa menyokong saya dan menghantar saya untuk menghadiri program rawatan dan sebagainya hingga hari ini.

“Mereka semua yang kuatkan hati saya untuk jauh daripada perkara negatif,” katanya.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 6:40pm
d