mutakhir

Aduh, sakitnya tapak tangan...

Oleh Siti Rohana Idris

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun menahan sakit selepas tercucuk mata kail di tapak tangan kirinya, hari ini.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor dihubungi untuk memotong sebahagian mata kail yang tercucuk di tapak tangan kiri mangsa.

Ketua BBP Pengkalan Kubor, Raja Arisan Raja Semail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Hospital Tumpat pada 1.30 tengah hari untuk bantuan.

“Seramai empat anggota dikejarkan ke hospital iaitu lokasi kanak-kanak lelaki berkenaan sedang dirawat.

“Anggota kami memotong sebahagian mata kail yang tercucuk di tapak tangan kirinya bagi memudahkan doktor melakukan pembedahan bagi mengeluarkan bakinya.

“Kami mengambil masa selama 15 minit untuk memotong sebahagian mata kail itu dengan menggunakan pemotong khas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bantuan khidmat khas itu adalah antara tugasan pasukan bomba dan pihaknya bersedia memberikan khidmat dalam apa juga situasi yang diperlukan pada bila-bila masa.

Disiarkan pada: May 19, 2019 @ 7:09pm
d