mutakhir

Rindu membara tujuh beradik [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

“KAMI bertuah mempunyai bapa tiri bertanggungjawab dan sering mengambil berat soal makan minum, tempat tinggal dan pakaian kami tujuh beradik, walaupun ibu sudah meninggal dunia Ogos lalu.

“Walaupun hanya berstatus bapa tiri dan tidak tinggal bersama sejak ibu, Norhayati Alias, 39, meninggal dunia, tetapi kami bertuah kerana bapa tiri, Mohamad Mohd Nor, 53, tetap menjalankan tanggungjawab sama seperti pernah dilakukan arwah bapa kandung kami, Saidi Abdullah yang meninggal dunia pada 2010,” kata Syahwanie Azwin Sahidi, 16.

Syahwanie Azwin berkata demikian ketika dikunjungi ahli jawatankuasa Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) diketuai Timbalan Presidennya, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman.

Ahmad Syafri Husnaini turut menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur seperti beras, minyak masak, biskut, gula dan wang tunai kepada tujuh beradik yatim piatu itu.

Selain Syahwanie Azwin dan kembarnya iaitu Syawani Azwa, 16, lima lagi adik-beradik mereka ialah Syahil Azem, 19; Syahwanie Azliya, 15; Syahil Azer, 14; Syahwanie Azrine, 10, serta Syah Amsyar Mohamad yang berusia 11 bulan.

Norhayati meninggal dunia akibat kanser selepas tiga bulan melahirkan Syah Amsyar hasil perkahwinan dengan Mohamad, manakala bapa kandung mereka meninggal dunia pada 2010, selepas menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala.

Selepas Norhayati meninggal dunia, Mohamad yang juga peniaga pasir menyewa rumah dengan kadar sewa RM500 sebulan untuk menempatkan enam anak tirinya termasuk anak bongsu Syah Amsyar hasil perkahwinan dengan Norhayati tinggal di Kampung Tok Kedah, Bukit Cempaka, Batu Rakit.

Tujuh beradik itu adalah menerima bantuan am berjumlah RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri selain mendapat sumbangan daripada guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mizan Zainal Abidin.

Syahwanie Azwin berkata, walaupun pertama kali terpaksa berbuka puasa dan bersahur tanpa ibu di sisi, kehadiran bapa tiri untuk berbuka puasa bersama sudah cukup untuk mengubati sedikit kerinduan.

“Walaupun kehilangan ibu masih terasa dan meninggalkan kesan, terutama apabila teringatkan ibu yang menguruskan semua keperluan pada bulan puasa dan menyambut Aidilfitri, kami terpaksa tabah meneruskan kehidupan bersama,” katanya.

Ketika ditanya mengenai juadah berbuka puasa dan persiapan menyambut Adilfitri, Syahwanie Azwin berkata, ada antara penduduk dan jiran menghulurkan kuih muih dan juadah berbuka, tetapi mereka belum membuat persediaan untuk menyambut hari raya.

“Kami bercadang menziarahi pusara arwah ibu dan bapa di Tanah Perkuburan Pulau Duyong pada pagi Aidilfitri dan berkunjung ke rumah saudara mara sebelum pulang semula ke rumah,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 12:43am
d