mutakhir

Rezeki pusat tahfiz

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BANTING: “Syukur dan alhamdulillah atas pemberian yang disampaikan ini. Semoga Allah SWT membalasnya,” kata Pengetua Madrasah Tahfiz Raudatul Baiduri, Helmi Jamaludin mengenai sumbangan diterima pusat tahfiz itu menerusi program Harian Metro Kotak Rezeki 2019.

Menurutnya, setakat ini, pusat tahfiz berkenaan yang menempatkan 16 pelajar terdiri daripada anak yatim, yatim piatu dan asnaf menerima sumbangan daripada pihak korporat dan individu terutama pada bulan Ramadan.

“Selain itu, kami juga mengusahakan kebun tanaman rock melon yang mana terakhir jualan buah ini pada musim ke-10 dan kali ini, ia masuk musim ke-11, sekali gus hasilnya digunakan untuk menampung perbelanjaan pusat tahfiz ini.

“Kami juga mengusahakan ternakan ayam dan ikan yang menjadi satu sumber bagi menampung kos pusat tahfiz ini,” katanya pada pelancaran program Harian Metro Kotak Rezeki 2019 di sini.

Selain terpilih sebagai penerima, pusat tahfiz berkenaan dipilih sebagai lokasi pelancaran Harian Metro Kotak Rezeki pada tahun ini iaitu program inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi membantu golongan kurang bernasib baik, keluarga miskin, anak yatim serta asnaf untuk menyambut Ramadan dan Syawal.

Mengulas lanjut, Helmi berkata, ini pertama kali program seumpama itu dianjurkan di situ dan belum pernah majlis seperti itu diadakan sejak penubuhan di pusat tahfiz berkenaan.

“Alhamdulillah, kami pun terkejut juga sebab terpilih sebagai tuan rumah. Belum ada lagi mana-mana syarikat buat sedemikian dan kami sangat berbesar hati.

“Malah, pelajar juga berasa gembira dan kami selaku penjaga dan pengajar juga berbesar hati. Semoga Allah SWT membalas pihak Harian Metro kerana mengadakan program ini termasuk aktiviti gotong-royong di sini,” katanya.

Pelajar, Muhammad Shah Hanafi Abdullah, 17, yang berasal dari Semanggol, Perak berkata, sumbangan duit raya yang diterimanya akan disimpan untuk kegunaan pada masa depan bagi tujuan bermanfaat.

Katanya, dia mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro dan semua pihak yang berbesar hati memberikan sumbangan kepada madrasah tahfiz berkenaan serta duit raya kepada pelajar.

“Saya kehilangan bapa kerana kemalangan iaitu ketika ibu sedang mengandungkan saya tiga bulan, manakala ibu pula meninggal dunia selepas tiga bulan saya dilahirkan.

“Nenek mengambil alih tanggungjawab membesarkan saya dan kemudian, saya belajar di pusat tahfiz ini. Alhamdulillah, saya sudah menghafaz lapan juzuk al-Quran sepanjang di sini,” katanya.

Rakannya, Muhammad Raziq Hakimi Ramli, 15, yang kehilangan bapa akibat kanser hati mengucapkan terima kasih dengan sumbangan yang diberikan menerusi program Harian Metro Kotak Rezeki kepada pusat tahfiz itu.

“Alhamdulillah, pelajar juga juga menerima sumbangan duit raya dan kami gembira serta berbesar hati menerima pemberian ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 7:00am
d