mutakhir

Rambang mata pilih juadah

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

KUALA TERENGGANU: Kepelbagaian kuih-muih tradisional yang dijual di Bazar Kuih Tradisional Terengganu, Gong Kapas membuat siapa saja menjadi rambang mata, bukan saja penduduk tempatan tapi juga orang luar dan juga pelancong termasuk daripada luar negara yang datang ke Terengganu.

Lebih 100 jenis kuih-muih tradisional dijual di gerai milik Tengku Ahmad Tengku Mohd yang terletak di persimpangan lampu isyarat Jalan Panji Alam, di sini yang juga laluan utama penduduk di daerah itu seterusnya memudahkan orang ramai untuk mengunjunginya.

Antara kuih tradisional yang boleh diperoleh di situ jala emas, seri kaya, akok, nekbat, tepung pelita, puding raja dan ada sesetengah kuih tradisional sukar diperoleh di tempat lain dan hanya dijual di sini.

Memang sudah tidak asing lagi gerai yang beroperasi hampir 20 tahun itu menjadi tumpuan orang ramai pada Ramadan mendapatkan kuih untuk dijadikan sebagai menu berbuka puasa.

Pembantu gerai, Syed Saiful Khaidir Syed Ahmad berkata, permintaan pelanggan pada Ramadan meningkat hampir sekali ganda menjadikan gerai yang dibantu enam yang lain itu tidak menang tangan melayan pelanggan.

“Selain penduduk di sekitar Kuala Terengganu, ada juga pelanggan datang daripada luar semata-mata untuk membeli kuih tradisional di sini kerana ada sesetengah kuih itu sukar diperoleh di tempat lain.

“Ada yang datang itu tidak membeli dalam kuantiti yang sedikit sebaliknya membeli untuk disedekahkan dan juga untuk majlis berbuka puasa dan moreh,” katanya.

Syed Saiful Khaidir berkata, gerai itu menempatkan kuih daripada 70 peniaga yang meletakkan kuih masing-masing di gerai terbabit untuk dijual.

“Walaupun kuih yang sama, pembuatnya berbeza-beza. Peniaga yang kebanyakannya penduduk sekitar meletakkan kuih mereka di gerai ini untuk dijual kepada orang ramai.

“Jadi terpulang kepada pelanggan untuk membeli kuih kegemaran mereka. Tapi bagi pelanggan setia yang sudah biasa membeli di sini, tahu kuih yang menepati citarasa mereka,” katanya.

Syed Saiful Khaidir berkata, walaupun kos saban tahun meningkat tetapi kuih yang dijual di gerainya masih menawarkan harga yang berpatutan.

“Ada pembeli tidak kisah dengan harga yang ditawarkan kerana mengakui kualiti malah ada sesetengah kuih tradisional itu juga sukar diperoleh di tempat lain.

“Saya juga risau, sekiranya pembuat kuih itu sudah tiada nanti, tiada siapa akan mewarisi pembuatannya dan seterusnya kuih itu akan lenyap dan generasi akan datang tidak dapat merasai keenakan dan mengenali kuih tradisional nanti,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 7:30am
d