mutakhir

Tidur bawah tangga

Oleh Nor Amalina Alias

KOTA BHARU: Di saat umat Islam lain sedang sibuk membuat persiapan raya, berbeza buat warga emas dan 17 beranak yang terpaksa berpuasa dan beraya di rumah sewa dalam keadaan serba daif.

Bunga Awang, 74, berkata, dia terpaksa berhimpit di rumah sewa itu bersama empat anaknya, Nor Azmi Abdullah, 49, Anuar, 42, Nor Azma, 38, dan Azizul, 36, dengan pasangan dan anak masing-masing.

Menurutnya, mereka terpaksa menyewa di situ selepas dua rumah yang didiaminya dan anak di Kampung Alor Bakat di sini, hangus dalam kebakaran pada 15 September tahun lalu.

“Kami tidak mampu membina semula rumah memandangkan anak hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu selain masing-masing mempunyai tanggungan yang ramai.

“Tahun ini, kami tidak ada rasa mahu beraya kerana duduk berhimpit di rumah sewa sejak sebulan lalu. Selepas kediaman hangus, kami hidup berpindah-randah menyewa rumah termasuk penginapan,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Melor di sini.

Bunga berkata, kerana terlalu ramai, ada anak dan cucu yang terpaksa tidur di ruang tamu serta di bawah tangga rumah sewa yang hanya ditutupi selimut sebagai kelambu kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.

“Kalau ikut hati, suka tinggal di rumah sendiri walaupun kecil, tetapi tahun ini saya tidak tahu macam mana hendak sambut raya kerana tidak dapat terima kehadiran saudara-mara dan tetamu seperti biasa yang kami buat termasuk menyediakan makanan. Pakaian raya pun tak ada,” katanya dengan nada sedih.

Menantunya, Rohaya Ya, 43, berkata, mereka juga memakai pakaian yang disedekahkan orang ramai selepas kebakaran kerana mereka semua tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, selepas kebakaran ada pihak mendakwa mahu membina semula rumah mentua dan rumahnya, tetapi sehingga kini tidak mendapat sebarang perkembangan.

Azizul pula berkata, mereka terpaksa membuat pelbagai kerja untuk menampung perbelanjaan harian, sewa rumah dan bil yang mahal kerana didiami ramai orang.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 8:00am
d