mutakhir

Jangan bimbang, tiket bas cukup

Oleh Siti Rohana Idris

KONSORTIUM E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) memberi jaminan tiket bas syarikatnya mencukupi untuk perantau pulang berhari raya.

Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, semua tiket tambahan itu akan mula dijual minggu hadapan di kaunter syarikat basnya termasuk atas talian.

“Buat masa ini tiket untuk seminggu sebelum dan selepas Aidilfitri sudah habis terjual, namun kita akan menyediakan tiket tambahan nanti.

“Kita juga akan menambahkan empat hingga lima bas di laluan puncak iaitu Kota Bharu-Kuala Lumpur untuk setiap perjalanan.

“Jadi kepada pengguna yang masih tiada tiket untuk pulang ke kampung halaman, jangan bimbang kerana kami akan menyediakan tiket tambahan nanti,” katanya kepada di Kota Bharu, malam tadi.

Che Ibrahim turut mengingatkan pelanggannya mendapatkan tiket tambahan menerusi saluran sah iaitu kaunter bas Mutiara sahaja dan bukan melalui ulat tiket.

“Ia bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang mengecewakan antaranya bas tidak datang dan ditipu.

“Jika pembelian dibuat menerusi kaunter, syarikat akan dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku sesuatu kejadian,” katanya.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan zakat kepada 271 penerima yang terdiri dari golongan asnaf selain 49 murid dan pelajar di sekitar Panji serta Panchor.

Che Ibrahim berkata, sumbangan itu adalah kesinambungan daripada aktiviti Ihya Ramadan yang sudah dijalankan sejak 2013 lagi.

“Istimewanya kali ini, iftar turut dimeriahkan dengan rakan niaga yang terdiri daripada pelbagai syarikat luar selain agensi kerajaan yang menjalinkan kerjasama dengan E-Mutiara sejak 25 tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 11:10am
d