mutakhir

'Sahur' dengan dadah

Oleh Zuliaty Zulkiffli

EMPAT penagih dicekup polis ketika ‘bersahur’ dengan dadah dan dalam keadaan khayal ketika serbuan di sebuah rumah di Batu 13 3/4 Jalan Pendang, Kobah, Pendang hari ini.

Dalam serbuan 2.30 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang diketuai Asisten Superintendan Muhamad Amin Mat Yasin membuat serbuan berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, ketika serbuan semua suspek duduk di lantai dalam bilik sebelah dapur rumah berkenaan.

Beliau berkata, anggota polis membuat pemeriksaan pada tubuh badan suspek namun tidak menemui barangan mencurigakan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut di lantai tempat mereka duduk menemui sembilan paket plastik lut sinar berisi serbuk dan ketulan disyaki heroin anggaran 26.75 gram, lapan paket plastik lut sinar berisi serbuk hablur jernih disyaki syabu 4.60 gram.

“Selain itu, turut ditemui sebilah gunting besi, alat penimbang digital, 10 plastik lut sinar kosong dan sebotol kaca yang di ubahsuai menjadi alat untuk menghisap dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif morfin.

Beliau berkata, suspek pertama berusia 34 tahun dan masih bujang disyaki tokan manakala tiga rakannya berusia 39, 42 dan 46 tahun membantunya membungkus semula dadah berkenaan.

Beliau berkata, rumah itu adalah milik suspek berusia 46 tahun dan mereka menjadikan rumah itu sebagai port membungkus dan menagih dadah.

Katanya, berdasarkan rekod jenayah, suspek pertama memiliki empat rekod jenayah berkaitan dadah manakala suspek kedua berusia 39 tahun dua rekod jenayah, suspek ketiga berusia 46 tahun ada lima rekod jenayah termasuk dadah dan suspek keempat berusia 42 tahun memiliki 10 rekod jenayah termasuk dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan nilai rampasan heroin 26.75 gram bernilai RM800 manakala syabu 4.60 gram bernilai RM460.

“Turut dirampas dua motosikal, Honda EX5 dan Yamaha 135LC untuk membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 11:49am
d