mutakhir

Tiada pembuangan pekerja

Oleh BERNAMA

KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Presiden Axiata Group Bhd, Tan Sri Jamaludin Ibrahim menegaskan bahawa tidak wujud pembuangan pekerja jika cadangan penggabungan dengan operator mudah alih dari Norway, Telenor ASA menjadi kenyataan.

Langkah yang dirancang itu, dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun depan dan Axiata tidak melihat pembuangan pekerja sebagai sesuatu yang akan menguntungkan gabungan itu.

“Tidak akan ada pembuangan pekerja, itu jaminannya,” kata beliau kepada Bernama baru-baru, ini meredakan kebimbangan selepas berita berhubung cadangan penggabungan itu diumumkan pada awal bulan ini.

“Kami tidak akan membuat perkara-perkara yang akan memberi kesan ke atas kakitangan kami, falsafah kumpulan adalah untuk sentiasa menjaga kebajikan pekerjanya. Kami amat teguh mengenai tersebut.

“Malah, Celcom sentiasa mempunyai jumlah kakitangan yang tinggi dan tidak pernah melaksanakan sebarang pemberhentian kerja, selain menawarkan skim berhenti secara sukarela (VSS),” kata Jamaludin, yang telah mengetuai konglomerat telekomunikasi itu sejak dari 2008.

Celcom menjalankan tiga langkah VSS sejak 2015 dengan hanya kira-kira 350 pekerja yang memilih tawaran itu.

“Kebanyakan orang tidak cukup memahami industri telekomunikasi. Walaupun prestasi kami agak memuaskan, ia tidak boleh dibandingkan dengan industri telekomunikasi global.

“Di Eropah, sebagai contoh, pada 2017, lebih 100,000 pekerja dibuang dan pertumbuhan hanya sebanyak 1.0 peratus. Keuntungan adalah -3.0 peratus. Jika kami tidak berbuat apa-apa di sini, kami mungkin berhadapan dengan krisis yang sama,” kata Jamaludin.

“Langkah penggabungan adalah keputusan yang terbaik kerana apa sahaja yang kami buat, perlu di atas satu kedudukan yang kukuh. Jika terpaksa menguruskan pemberhentian kakitangan, kami akan memiliki kemampuan bagi menawarkan skim sukarela,” katanya.

Beliau menjelaskan Axiata tidak akan mampu bertahan dalam pasaran domestik jika kekal dengan produk sekarang, tambahan pula, selepas muncul kemudahan mesej merentasi pelbagai platform termasuk perkhidmatan suara melalui Protokol Internet seperti Whatsapp.

“Industri telekomunikasi hari ini menawarkan pilihan yang banyak. Tidak wujud monopoli. Ambil panggilan suara sebagai contoh, berapa ramai yang menggunakan syarikat telekomunikasi tempatan seperti Celcom dan Digi untuk panggilan antarabangsa? Skype dan Whatsapp lebih digemari dan penggunaan produk-produk ini mengatasi kami semua,” katanya.

Pada 6 Mei, Axiata dan Telenor mengumumkan bahawa mereka sedang berunding bagi menubuhkan entiti global yang baharu, MergedCo, dengan menggabungkan operasi mereka dalam pasaran ASEAN serta Asia Tenggara.

Cadangan urus niaga tersebut, bertujuan untuk membolehkan MergedCo menyatukan kombinasi pengalaman, skala, kecekapan dan pengalaman kedua-dua syarikat yang luas dalam menerajui serta menguruskan pasaran sempadan dan pasaran baru muncul.

Dari sudut domestik, pelan yang dirancangkan adalah untuk menggabungkan Celcom dan Digi menjadi MalaysiaCo.

Jamaludin menafikan tanggapan bahawa penggabungan itu nanti, akan menghilangkan identiti Axiata dan seolah-olah seperti menjual aset tempatan kepada entiti asing.

“Ini adalah penggabungan, bukan pengambilalihan. MergedCo tidak akan dikuasai sama ada oleh Telenor atau Axiata,” tegas beliau sambil menambah bahawa walaupun Telenor mempunyai kepentingan majoriti, semangat kesaksamaan dalam penggabungan adalah asas kepada usaha ini.

Gabungan Lembaga Pengarah akan mewakili pegangan saham tetapi Jamaludin menjelaskan bahawa Lembaga Pengarah MergedCo, seperti juga MalaysiaCo akan kekal bebas dan diuruskan secara profesional dengan mandat untuk membuat semua keputusan-keputusan di Malaysia dan operasi di negara yang terbabit.

Mengenai cadangan MalaysiaCo, beliau menjelaskan, bagi mengimbangi “kesaksamaan” penggabungan, dan terus komited dengan agenda kebangsaan, pengerusinya akan dicalonkan oleh Axiata serta merupakan seorang warganegara Malaysia.

Penggabungan antara Telenor dan Axiata akan berpotensi untuk memberikan sehingga sekitar RM20 bilion dalam nilai tambahan sinergi melalui pengukuhan aset dan organisasi, ekonomi skala, skop serta amalan terbaik daripada pihak-pihak yang terlibat.

Axiata yang muncul sebagai sebuah syarikat tunggal pada asalnya, menjadi syarikat awam tersenarai yang kelapan terbesar di Malaysia, penggabungan ini akan mewujudkan tambahan pembentukan empat syarikat gergasi di Malaysia.

MergedCo menjadi sebuah syarikat bertaraf antarabangsa, MalaysiaCo akan menjadi pengendali telekomunikasi mudah alih yang terbesar di Malaysia; TowerCo yang bersifat global merupakan gabungan edotco Group Sdn Bhd dengan aset menara Telenor Asia serta sebuah Pusat Inovasi terbesar di rantau ini yang akan menyaksikan pelaburan bernilai RM100 juta setiap tahun daripada MergedCo.

Selepas penyenaraian, secara berasingan dalam tempoh lima tahun, MergedCo, MalaysiaCo dan TowerCo berkemungkinan akan menjadi antara tiga syarikat terkemuka, lima terbaik dan 25 syarikat tersenarai awam teratas di Malaysia dan sebahagian besarnya akan membantu menarik pelaburan ke dalam pasaran modal tempatan.

Pihak-pihak berkenaan juga telah menyatakan hasrat mereka untuk menyenaraikan MergedCo dalam Bursa Malaysia termasuk di sebuah bursa antarabangsa dalam tempoh beberapa tahun akan datang, manakala MalaysiaCo akan disenaraikan serta-merta.

Walaupun pegangan saham gabungan tersebut akan mencerminkan penilaian aset yang relatif yang mengakibatkan Telenor menjadi pemegang saham majoriti bagi MergedCo iaitu sebanyak 56.5 peratus dan Axiata (43.5 peratus), kedua-dua pihak mengakui bahawa ini adalah sebagai pendahuluan dan ianya tertakluk kepada pelarasan dan usaha wajar.

Jamaludin memberitahu Axiata telah bersemuka dengan para pekerja dan anak-anak syarikatnya, untuk menangani kebimbangan yang berkaitan dengan penggabungan itu.

“Ini dibuat secara terus-menerus sejak pengumuman penggabungan. Kami juga melibatkan media, pelabur dan pertanyaan daripada kakitangan serta pengurusan kami. Saya telah pun bermesyuarat dengan pihak pengurusan tertinggi Robi kerana mereka tidak terlibat dalam perjanjian tersebut. Saya juga bertemu menteri dan akan ada lebih banyak lagi yang perlu dilakukan.

“Respon yang diterima adalah pelbagai. Ada yang masih bimbang dan berasa tidak menentu. Maksud saya, sekarang ini akan wujud sebuah syarikat baharu, jadi walaupun kerja anda terjamin, anda masih tidak dapat menjangkakan apa-apa daripada syarikat baharu ini,” katanya.

Jamaludin berkata, perbincangan antara Axiata dan Telenor telah mula diadakan sejak lapan tahun lepas dan pelbagai konfigurasi telah diterokai, tetapi ia menjadi semakin rancak sejak beberapa bulan lepas.

“Kami mengambil contoh daripada portfolio Khazanah yang telah disusun semula sebagai dana strategik dan komersil, dengan niat supaya ianya beroperasi sebagai sebuah syarikat komersil. Ia menjadi pencetus kepada usaha ini,” katanya.

Khazanah mempunyai 37 peratus kepentingan dalam Axiata.

“Ia adalah hebat untuk mempunyai sebuah syarikat Malaysia, beribu pejabat di sini tetapi mampu menerajui peringkat global dan setiap syarikat telekomunikasi di dunia mengiktiraf jenama, saiz dan pencapaian kami,” kata Jamaludin.

Berita berkaitan

  • Axiata, Telenor bakal wujud MergedCo
  • Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 1:56pm
    d