mutakhir

Letih puasa ya bang?

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

TUJUH penagih memberi alasan sedang berehat kerana letih berpuasa dalam usaha melepaskan diri daripada ditahan polis dalam serbuan di FELDA Serting Hilir Dua di Jempol, semalam.

Bagaimanapun, taktik sekumpulan lelaki berusia 30 hingga 40-an itu tidak berhasil apabila mereka ditahan dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, polis melakukan serbuan Op Sarang di bangunan lama di tanah rancangan itu yang dipercayai dijadikan sarang penagihan dadah.

Katanya, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada 4 petang.

“Pemerhatian polis mendapati terdapat beberapa lelaki memasuki bangunan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota kemudian menyerbu kawasan itu dan ada antara mereka bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun berjaya ditahan.

“Mereka memberi alasan mahu berehat dan tidak menagih kerana berpuasa. Semua suspek kemudian dibawa ke IPD Jempol untuk pemeriksaan lanjut dan didapati positif dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, semua suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 2:12pm
d