mutakhir

Leka guna telefon langgar palang [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

AKIBAT leka dipercayai menggunakan telefon bimbit, seorang pemandu lelaki merempuh palang besi Plaza Tol Sungai Dua, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi, lelaki berusia 26 tahun dan memandu Toyota Vios berpelekat P didakwa gagal memberhentikan kenderaannya sebelum merempuh palang tol.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, akibat rempuhan itu, palang tol tidak patah sebaliknya melentur dan terperosok ke dalam kereta.

“Pemandu berkenaan mendakwa gagal menekan brek kerana terleka sebelum merempuh palang tol.

“Mangsa bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan kemudian disaman ekoran kejadian itu.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 2:42pm
d