mutakhir

Buta kerana mercun

Oleh Noorazura Abdul Rahman

DILAHIRKAN sempurna namun akibat terkena serpihan belerang dan kulit mercun bola, seorang pemuda terpaksa meneruskan hidup dengan hanya sebelah mata.

Kejadian 16 tahun lalu itu menjadikan Mohamad Abd Amin Zokri, 26, hilang keyakinan diri dan serik berikutan terpaksa mendapatkan rawatan susulan selama 15 tahun di hospital.

Menceritakan kejadian itu, Mohamad Abd Amin atau Amin berkata, dia ketika itu bersama empat rakan bermain mercun bola dan melemparkannya ke dalam parit berhampiran sawah.

Katanya, air cetek selain dapat melihat ikan timbul selepas mercun dibaling menjadikan dia dan rakan bertambah teruja.

“Kejadian berlaku masa umur saya 10 tahun, ketika itu saya sudah pun baling sebiji mercun bola ke dalam parit, kami baling ikut giliran. Tapi apabila tiba giliran seorang kawan, saya tak sedar dia sudah cucuh api, sebaik saja mercun itu dilempar ke dalam parit semua berpaling muka kecuali saya seorang.

“Letupan itu menyebabkan serpihan belerang dan kulit mercun masuk ke dalam mata kiri dan saya terus rebah ke tanah, tepi mata yang sama turut terkena kayu, selepas itu mata saya rasa pedih dan saya pulang ke rumah dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Lala, Pokok Sena, Alor Setar, hari ini.

Amin yang kini mengusahakan tanaman nanas berkata, doktor kemudian mengesahkan matanya cedera dan rosak teruk akibat serpihan belerang mercun berkenaan.

Katanya, doktor memberi pilihan untuk menggunakan mata palsu namun apabila memikirkan kesan jangka panjang dikhuatiri boleh menyebabkan kelopak mata tertutup, Amin memilih untuk kekalkan mata asal.

“Disebabkan saya masih kanak-kanak, saya agak sukar menerima kenyataan bahawa saya buta sebelah mata, penjagaan mata yang luka dan rosak sangatlah susah.

“Pengalaman ini memberi pengajaran hebat buat saya, selepas kejadian itu, saya tidak lagi bermain mercun dan turut tidak membenarkan adik-adik saya bermain,” katanya anak sulung daripada lima beradik itu.

Justeru dia menasihatkan agar kanak-kanak mahupun orang dewasa tidak sesekali cuba bermain mercun kerana ‘malang tidak berbau’.

Selepas kejadian itu, Amin memegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sehingga kini perasaan trauma itu masih lagi ada terutama selepas terbaca laporan mengenai kejadian cedera terkena mercun.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 2:48pm
d