mutakhir

'Ini saja tempat kami berteduh'

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

TINGGAL di rumah yang selayaknya dipanggil pondok bukanlah kehendaknya namun dia tidak mempunyai pilihan menjadikan kediaman itu sebagai tempat berlindung bersama suami serta empat anak.

Norazuha Muda, 35, berkata, dia tinggal di rumah berkenaan sejak 11 tahun lalu dan ia dibina oleh bapa mentuanya di tanah pusaka milik keluarga.

Katanya, kesempitan hidup membuatkan mereka terpaksa membatalkan hasrat berpindah dan menyewa rumah lebih selesa.

Menurutnya, dia hanya bergantung kepada suaminya, Mohd Hussin Abdul Shukor, 36, yang bekerja sebagai pengutip besi buruk dan barang kitar semula dengan pendapatan tidak menentu.

“Rumah ini tidak mempunyai bilik dan kami anak beranak akan tidur di ruang tamu, memang agak sempit namun kami tidak mempunyai pilihan.

“Malah rumah ini tidak mempunyai tandas, jika mahu menggunakan tandas, kami terpaksa menumpang rumah abang yang terletak di hadapan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Permatang Badak, Kuantan, hari ini.

Kesusahan itu sering kali membuatkan dia serta empat anak mereka yang berusia 16 bulan hingga 10 tahun terpaksa mengikat perut terutamanya apabila kehabisan makanan.

Katanya, menu nasi bersama ikan kering dan telur menjadi juadah lazim setiap kali berbuka puasa dan bersahur.

“Jika suami tidak dapat menjual besi buruk, biasanya kami hanya berbuka puasa dan bersahur dengan nasi yang dicampur dengan minyak ikan dan garam saja, ada kalanya nasi campur garam dan air panas.

“Pendapatan suami tidak menentu, jika bernasib baik mampu mendapat RM50 sehari namun pernah juga hanya memperoleh RM10 saja,” katanya.

Norazuha berkata, anak bongsunya, Nur Balkis Batrisya, 16 bulan, terpaksa minum susu pekat manis kerana dia tidak mampu membeli susu formula.

“Apabila susu pekat manis habis, saya hanya memberinya teh ‘o’ atau sirap, pernah juga dia hanya minum air kosong saja.

“Begitu juga dengan lampin pakai buang, apabila habis saya akan menggunakan kain batik yang tidak digunakan lagi untuk dijadikan lampin,” katanya.

Menurutnya, dia menerima bantuan wang zakat sebanyak RM400 sebulan namun wang itu tidak mencukupi menampung keperluan mereka lebih-lebih lagi tiga anaknya masih bersekolah.

“Jika keadaan mendesak saya meminta belas ehsan adik-beradik lain, namun segan juga apabila terlalu kerap meminta-minta, mereka pun mempunyai tanggungan masing-masing.

“Pernah juga saya terpaksa berhutang dengan kedai runcit berhampiran untuk mendapatkan barang makanan dan saya akan membayarnya apabila memperoleh wang bantuan zakat berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan Aidilfitri, katanya seperti tahun-tahun sebelum ini tiada sebarang persiapan dilakukan meskipun anak-anaknya meminta untuk dibelikan baju baru.

Katanya, dia sering memberitahu anak-anaknya bahawa dia tidak mampu menyediakan kelengkapan hari raya kerana tidak mempunyai wang mencukupi.

“Bagaimanapun ada juga saudara mara dan rakan yang bermurah hati membelikan baju baru untuk anak-anak saya, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami dan menceriakan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 4:18pm
d