mutakhir

Parah jatuh dari ketinggian 30 meter

Oleh Recqueal Raimi

DUA pekerja kontraktor binaan parah selepas terjatuh dari pencawang telekomunikasi setinggi 30 meter, hari ini.

Kejadian berlaku 4.30 petang ketika mereka melakukan kerja pembaikan di Kampung Kuala Abai dekat Kota Belud.

Mangsa, Sylverius Dami, 28, dan Miandi Ungkaris, 40, luka di muka dan patah tangan serta kaki kanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Belud, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.37 petang dan 10 anggota dikejarkan ke lokasi bersama dua jentera.

Katanya, ketika anggota tiba, kedua-duanya tidak mampu bergerak dan terbaring di atas tapak simen pencawang.

“Mereka masih sedar ketika itu dan diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud.

“Difahamkan, kedua-dua mangsa terjatuh dari ketinggian 30 meter lalu tersangkut pada ketinggian 3.05 meter sebelum diturunkan rakan sekerja lain,” katanya dihubungi.

Rozlan berkata, mangsa berkemungkinan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan, manakala operasi ditamatkan pada 5.20 petang.

Disiarkan pada: May 20, 2019 @ 9:31pm
d