mutakhir

'Kami berbesar hati'

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

BANTING: “Kami baru berpindah ke rumah baharu, jadi banyak yang diperlukan dari segi kewangan. Alhamdulillah, kami sangat bersyukur dengan sumbangan ini,” kata Pengasas Pusat Jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah, Juhaidah Mohd Yusof.

Rumah kebajikan anak yatim dan asnaf itu antara penerima program Harian Metro Kotak Rezeki yang mendapat kerjasama Affin Islamic Bank Bhd selaku penaja utama selain syarikat pengeluar produk pati buah-buahan, K.H.H Double Lion Fruit Juice Manufacturing Sdn Bhd dan pengeluar biskut tempatan, Julie’s.

Juhaidah berkata, sebelum ini, pusat jagaannya beroperasi di Kota Warisan, Sepang sejak 2009 dan kini berpindah ke Taman Saujana KLIA bermula Januari lalu.

“Justeru, kami bagi pihak Pusat Jagaan Baitus Sakinah Wal Mahabbah mengucapkan terima kasih atas sumbangan Harian Metro dan pihak terbabit atas pemberian ini.

“Kami berbesar hati kerana sangat memerlukan sumbangan dihulurkan. Alhamdulillah, sebab kami pun baru berpindah rumah dan banyak kewangan diperlukan,” katanya.

Pelancaran program Harian Metro Kotak Rezeki itu berlangsung di Madrasah Tahfiz Raudatul Baiduri di Olak Lempit di sini.

Dalam pada itu, Juhaidah berkata, sumbangan dan bantuan diterima juga dimanfaatkan untuk keperluan sambutan Aidilfitri anak yatim dan asnaf di pusat jagaan itu.

“Kami mempunyai 30 anak berusia enam hingga 16 tahun terdiri daripada 15 murid sekolah rendah dan 15 belajar di maahad tahfiz serta tinggal di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Maahad Tahfiz Al Quran Al Islah, Kanizar Ibrahim berkata, pihaknya juga berbesar hati dan mengucapkan terima kasih terhadap pemberian bantuan menerusi program Harian Metro Kotak Rezeki kepada pusat tahfiz yang beroperasi sejak 2012 di Desa Pinggiran Putra.

“Kami sebagai wakil maahad mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Harian Metro, Affin Islamic Bank Bhd dan sesiapa penaja yang menyumbang kepada maahad ini.

“Semoga yang terbabit atas pemberian ini ditambahkan lagi rezeki dan keberkatan kepada semua,” katanya.

Mengulas lanjut, Kanizar berkata, pusat tahfiz berkenaan ada mendapat bantuan daripada pihak lain namun, ia tidak kerap selain menerima sumbangan daripada pihak surau di Desa Pinggiran Putra.

“Seramai 17 pelajar menuntut di sini dan ada juga daripada golongan asnaf. Mereka berusia antara sembilan hingga 16 tahun dan maahad tahfiz persendirian ini juga mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 6:30am
d