mutakhir

Meringkuk lah kau dalam penjara

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

MAHKAMAH Sesyen Kuala Terengganu, hari ini memutuskan hukuman penjara 26 tahun dan 10 sebatan ke atas bapa tiga anak kerana merogol anak saudaranya yang berusia 19 tahun.

Keputusan dibuat Hakim Wan Azimah Yaacob selepas tertuduh berusia 45 tahun dan berasal dari Besut mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram dengan merogol mangsa berusia 19 tahun di sebuah rumah di Besut pada 8.30 pagi, 14 Mei lalu.

Dia didakwa atas pertuduhan kedua melakukan perbuatan itu di lokasi sama pada 10 pagi, 12 Mac lalu.

Wan Azimah menjatuhkan hukuman 13 tahun dan lima sebatan bagi setiap kesalahan dan memerintahkan hukuman penjara berjalan secara berasingan bermula tarikh ditangkap pada 14 Mei lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa nekad membuat laporan di Balai Polis Jerteh selepas tertuduh bertindak demikian yang membawa kepada penahanannya di rumah di Besut, pada 10.30 malam, 14 Mei lalu.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 3:50pm
d