mutakhir

Penduduk lali dengan pencemaran Sungai Melaka

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan

PENDUDUK Kampung Morten menyedari keadaan Sungai Melaka keruh sejak dua hari lalu namun menyifatkan mereka sudah lali dengan perkara itu.

Mereka mendakwa, sungai berkenaan berbau busuk dan air bertukar keruh dan hitam selain ratusan bangkai ikan timbul itu dipercayai berpunca dari sungai di Batu Hampar dan Krubong, sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Tinjauan hari ini mendapati warna air Sungai Melaka masih hitam, berbau dan bangkai ikan masih timbul namun, pihak berkuasa sedang berusaha menjalankan kerja pembersihan menggunakan teknik ‘flushing’, tengah malam tadi.

Penduduk, Rafiah Muhammad, 58, berkata, dia sudah terhidu bau busuk ketika sedang berehat di tepi sungai itu lewat petang semalam.

“Saya nampak air kotor, memang berbau dan air keruh. Bangkai ikan yang timbul pula sebesar tapak tangan,” katanya yang berasal dari kampung itu.

Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Muhamed, 72, menyedari keadaan air keruh sejak dua hari lalu namun percaya ia berpunca dari aliran sungai di Krubong.

“Saya nampak banyak ikan mati di sungai tapi biasanya jika keadaan ini berlaku, ia berpunca dari Krubong. Apabila ada ikan mati, air mesti kotor dan kejadian ini selalunya berlaku dua tahun sekali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Azlan Abidin berkata, kualiti air Sungai Melaka dijangka pulih sepenuhnya petang ini, selepas air yang tercemar dilepaskan ke laut, tengah malam tadi.

“Selepas air Sungai Melaka dilepaskan ke laut ketika air pasang tengah malam tadi, warna air sudah bertukar.

“Operasi bot Melaka River Cruise yang dihentikan sejak malam tadi dijangka beroperasi semula petang atau malam ini,” katanya, ketika membuat tinjauan di sungai itu, pagi ini.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 4:08pm
d