mutakhir

Gaduh pasal bayar parkir rupanya...

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PERGADUHAN sekumpulan lelaki di sebuah hotel dan pusat hiburan dekat Stulang, Johor Bahru yang tular dalam sejak kelmarin berpunca daripada isu pembayaran tiket parkir.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pergaduhan berlaku pada 1.20 pagi itu ketika dua lelaki membuat pembayaran tiket parkir melalui mesin pembayaran di kaki lima premis.

“Seorang daripada lelaki itu tidak berpuas hati kerana lelaki sebelumnya mengambil masa yang agak lama untuk menyelesaikan pembayaran.

“Bermula dengan tegur menegur yang kemudiannya berlaku pergaduhan antara mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Khalil berkata, pada waktu yang sama, rakan kepada kedua-dua lelaki berkenaan cuba campur tangan.

“Namun, Polis Bantuan yang berada di tempat kejadian dapat menahan kedua-dua suspek dan meredakan keadaan,” katanya.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 147 / 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan serta merosakkan harta benda awam.

Sejak kelmarin, tiga video insiden itu tular di media sosial yang berdurasi antara 18 saat hingga 32 saat, menunjukkan kekecohan sehingga diredakan polis bantuan dan kakitangan hotel.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 5:21pm
d