mutakhir

Kakitangan awam Terengganu dapat bonus RM400

Oleh Helmy Abd Rahman

KERAJAAN negeri Terengganu mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM400 seorang kepada 12,700 penjawat awam di negeri itu sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pemberian itu membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM5.1 juta untuk kakitangan Gred 54 dan ke bawah termasuk pekerja kontrak dan adhoc.

“Pengagihan bayaran akan dilakukan akhir bulan ini iaitu beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program ‘Beyond The Moon: 50th Anniversary Of Moon Landing’ di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Kampung Laut, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Misi Kedutaan Amerika Syarikat Dean Thompson dan Ketua Pegawai Eksekutif PSKT Roslan Rosman.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya sedar jumlah bayaran berkenaan agak rendah berbanding negeri lain namun kerajaan negeri tetap berusaha sebaik mungkin melakukan pemberian terbabit bagi menghargai semua kakitangan awam di negeri ini.

“Sebenarnya jumlah ini berikutan pengurangan bayaran royalti minyak oleh kerajaan Pusat dan ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada ekonomi kita, tapi kita tetap berusaha sedaya mungkin untuk membolehkan kakitangan awam dirai dan dihargai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau mengingatkan pihak berkuasa supaya melakukan pemantauan penjualan mercun secara lebih giat bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti yang berlaku di Besut semalam berulang.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Alor Lintang, Syafiq Haikal Shaharrudin, 13, parah di pergelangan tangan sebelah kanan dan putus semua jari selepas bermain mercun di luar rumahnya di Kampung Kubang Ikan, Besut.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 5:27pm
d