mutakhir

Denda RM2,000 miliki mercun

Oleh BERNAMA

SEORANG pengawal keselamatan didenda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini atas pertuduhan memiliki 380 mercun dari 14 jenis jenama secara haram, tahun lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap V Rameson, 43, selepas dia mengaku bersalah memiliki antaranya 72 biji mercun Happy Boom, 60 batang mercun Candela China dan 30 biji mercun Cracker Barrel di tepi pasar Sg Way, bersebelahan Plaza Seri Setia, Jalan SS9/1 Petaling Jaya, pada 5.30 petang, 27 Okt 2018.

Mengikut fakta kes, pihak polis membuat serbuan dan menangkap tertuduh di tepi pasar itu ketika menjual bunga api dan mercun tanpa permit dan lesen sah.

Tertuduh kemudian dibawa ke balai polis dan kesemua barang kes dirampas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Fariha Najwa Wan Azaham memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh, bagaimanapun lelaki itu yang diwakili peguam Dinesh Ramachandran merayu hukuman berbentuk denda ringan.

Disiarkan pada: May 21, 2019 @ 6:22pm
d