mutakhir

Ceria terima sumbangan Aidilfitri

Oleh Zuhainy Zulkiffli

AIDILFITRI yang bakal menjelang memberi keceriaan buat sekeluarga asnaf dari Kampung Permatang Ara, Sungai Jawi apabila menerima sumbangan sempena Hari Raya oleh KPJ Penang Specialist Hospital di Pasaraya Mydin, Jalan Baru di Seberang Perai, semalam.

Ibu tunggal tujuh anak itu juga berpeluang memilih pakaian raya dan barangan dapur bagi kegunaan mereka sekeluarga, semalam.

Roaini Sulaiman, 49, berkata, dia mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga selepas suaminya meninggal dunia akibat barah otak pada 2017.

Bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan, wang terbabit juga turut digunakan Roaini bagi menyara dua anaknya di universiti tempatan serta lima lagi yang masih bersekolah.

“Persiapan kami tahun lalu hanya ala kadar sahaja dan syukur kami dipilih menerima sumbangan ini memandangkan pendapatan saya yang tidak seberapa.

“Terima kasih kepada pihak berkenaan dan Aidilfitri kali ini amat bermakna kepada anak yang sudah lama inginkan pakaian baru,” katanya yang hadir bersama tiga anak, Nur Irma Suri Abdul Hadi, 20, Alif Haikal, 10 dan Nor Ileesya Iliani, 6.

Pada program terbabit, seramai 35 kanak-kanak yatim dan asnaf daripada tiga sekolah di Kulim, Kedah dibawa membeli belah di Pasaraya Mydin dan memilih sendiri kelengkapan yang digemari.

Sekolah yang terbabit ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Patrick, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ular, dan SK Sri Limau termasuk empat daripada keluarga Roaini.

Program itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Penang, Zabidi Abd Razak bersama Ketua Pegawai Kejururawatan KPJ, Hamizah Abu Seman.

Sementara itu, Zabidi berkata, program berkenaan sudah menjadi tradisi bagi KPJ Penang ketika musim perayaan dengan menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat yang kurang berkemampuan.

Katanya, menerusi sumbangan itu diharap dapat membantu meringankan bebanan keluarga yang tidak berkemampuan selain menceriakan anak yatim terbabit.

“Seramai 20 kakitangan KPJ Penang turut sama mengiringi anak yatim dan asnaf bagi meraikan dan membantu mereka memilih keperluan yang disukai.

“Saya juga berharap, usaha baik ini dapat dikongsi kepada masyarakat supaya mereka tahu ada golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan perhatian dan bantuan,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 12:46am
d