mutakhir

4 lagak polis menyamun

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS memburu empat lelaki yang menyamun dua lelaki Rohingya dalam kejadian di kedai runcit di Taman Perindustrian Puchong, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, empat lelaki berkenaan berpakaian biasa tetapi menggunakan kereta berwarna perak tertera logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menyamun mangsa.

Menurutnya, dalam kejadian 8.45 malam itu, suspek menyamun RM3,200 daripada dua lelaki Rohingya terbabit.

Bagaimanapun, katanya, polis masih menyiasat kemungkinan empat suspek itu menyamar sebagai anggota polis dan menggunakan kenderaan dengan logo PDRM palsu.

“Ketika kejadian itu mangsa yang tinggal berdua di kedai runcit milik bapa saudaranya pada mulanya didatangi seorang lelaki.

“Sebaik memasuki kedai runcit, suspek kemudian memanggil tiga lagi rakannya untuk masuk sebelum mengambil wang RM3,200.

“Seorang daripada suspek kemudian masuk ke dalam stor dan mematikan alat perakam kamera litar tertutup (CCTV) kedai berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghubungi bapa saudara mereka memaklumkan kehadiran empat lelaki berkenaan sebelum diarahkan suspek untuk masuk ke dalam kereta berwarna perak.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudian dibawa berpusing-pusing sekitar kawasan itu sebelum bapa saudara mereka berjumpa suspek di gerai makanan segera di Bandar Sunway pada 12 tengah malam.

“Kumpulan suspek itu meminta bapa saudara mangsa membayar lagi RM5,000, namun mangsa memaklumkan tidak mempunyai wang yang dipinta.

“Kedua-dua mangsa ditinggalkan di tepi Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) berhampiran Sunway Mentari dan membuat laporan polis.

“Bapa saudara mangsa turut membuat laporan polis di Balai Polis USJ8,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 1:35am
d