mutakhir

Wanita lebur RM1 juta

Oleh BERNAMA

PENJAWAT awam dari Miri kerugian RM1,096,800 akibat diperdaya wanita yang mendakwa dari Mahkamah Terengganu awal bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mangsa wanita berusia 52 tahun pada mulanya dihubungi menerusi telefon oleh wanita bernama Syaifa Omar dari Mahkamah Terengganu 7 Mei lalu.

“Wanita itu mendakwa akaun mangsa disalahguna untuk tujuan jenayah iaitu pembelian dadah dan menggelapkan wang sebuah bank berjumlah RM90,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mustafa berkata, mangsa kemudian dihubungi lelaki bernama Sufian Sulaiman yang mengatakan akaun mangsa digunakan untuk penggelapan wang serta penyeludupan dadah dan meminta mangsa memindah wang dalam akaun mangsa ke akaun lelaki itu bagi mengelakkan akaun dibekukan.

“Mangsa diarahkan menukar nombor telefon bagi pendaftaran sistem perbankan dalam talian (online) ke nombor telefon yang diberikan lelaki itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian memasukkan wang keseluruhan berjumlah RM1,096,800 ke akaun lain milik mangsa secara berperingkat dari 7 hingga 20 Mei melalui 18 transaksi.

“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan melalui mesin Pengeluaran Wang Automatik (ATM) dan mendapati baki akaunnya hanya tinggal RM21 saja,” katanya.

Beliau meminta orang awam supaya tidak melayan panggilan telefon yang meragukan daripada individu tidak dikenali dan boleh menghubungi talian JSJK 013-2111222 jika mempunyai maklumat berkaitan Macau Scam.

“Polis atau agensi kerajaan tidak pernah meminta individu memasukkan wang atau bayaran melalui mesin ATM untuk bayaran seperti saman ke akaun peribadi tertentu,” katanya.

Menurutnya, dari 1 Januari hingga 20 Mei lalu 63 kes Macau Scam dilaporkan di Sarawak membabitkan kerugian RM3.9 juta dengan 15 tangkapan.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 2:57pm
d