mutakhir

Dugaan Ramadan empat beranak

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

EMPAT beranak hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka di Kampung Belaoh, Keruak, Jertih musnah dalam kebakaran petang semalam dipercayai berpunca daripada api lilin yang digunakan untuk bermain bunga api.

Harizah Mohamad, 32, berkata, ketika kejadian 5.45 petang, dia keluar membeli juadah berbuka manakala ibunya, Zaharah Hassan, 70, dan dua anaknya, Nur Aisyah Shahfia Mohd Ismail, 8, dan Nur Dayana Qistina Mohd Ismail, 6, berada di rumah.

Katanya, sebelum keluar menaiki motosikal dia sempat melihat dua anaknya itu membaca buku dan mewarna di beranda rumah.

Namun dia tidak menyangka, dua anaknya berjalan kaki ke kedai berhampiran membeli bunga api ketika ketiadaannya, sebelum kebakaran itu.

“Mengikut apa diceritakan mereka, selepas menyalakan lilin untuk bermain bunga api di bawah rumah, mereka tidak menyedari lilin itu dipercayai bergolek menyebabkan ia membakar kayu reput di situ.

“Kejadian berlaku pantas dan api merebak dengan cepat. Saya pun hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan jiran ketika dalam perjalanan pulang membeli juadah berbuka.

“Saya bersyukur mereka selamat walaupun sedih kehilangan tempat tinggal ketika Aidilfitri hampir menjelang,” katanya.

Harizah yang juga ibu tunggal berkata, disebabkan kebakaran itu mereka menanggung kerugian lebih RM50,000 dan semua dokumen peribadi, kelengkapan sekolah serta peralatan rumah tidak sempat diselamatkan.

“Aidilfitri kurang dua minggu lagi, tetapi kami diuji dengan kejadian ini. Sedih memang sedih, apatah lagi kami bukan orang senang. Sudah 40 tahun menetap di sini, kini semuanya musnah,” katanya yang berniaga makanan di sebuah warung.

Sementara itu Zaharah berkata, ketika kejadian dia mandi di bilik air sebelum terdengar jeritan dua cucunya memaklumkan api menyambar rumah.

“Saya segera keluar rumah ikut pintu belakang dan ternampak api marak di depan rumah sebelum berlari ke tepi jalan bersama dua cucu untuk menyelamatkan diri, ” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) setiap bulan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Jertih, Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan 6 petang sebelum sebuah jentera dengan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 3:23pm
d