mutakhir

Polis cabul peniaga ditahan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

KONSTABEL polis trafik ditahan polis hari ini selepas didakwa mencabul dan memeras ugut peniaga dalam talian di Padang Licin, Rantau Panjang semalam.

Terdahulu, dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, wanita warga Thailand berusia 26 tahun yang memandu Perodua Viva membuat pusingan U kerana bimbang ditahan dalam sekatan jalan raya selepas melakukan kesalahan menaiki kenderaan cermin gelap.

Sumber berkata, suspek berusia 25 tahun itu mengejarnya dengan motosikal dan memintanya berhenti di tepi jalan.

Katanya, anggota itu kemudian meminta mangsa memberi lesen memandu sebelum dia memeriksa but dan seluruh kereta.

“Anggota itu kemudian dikatakan masuk ke dalam kereta dan duduk di bahagian penumpang hadapan sebelum mencabul mangsa yang duduk di tempat duduk pemandu.

“Suspek kemudian meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Rantau Panjang pada hari sama.

“Mangsa yang tidak mengalami kecederaan dirujuk ke Hospital Pasir Mas untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Suspek ditahan 8 pagi tadi untuk siasatan lanjut dan permohonan reman akan dibuat esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 5:40pm
d