mutakhir

Bantu mangsa banjir di Ahwaz

Oleh Yusmizal Dolah Aling

TIDAK tergambar perasaan sukarelawan I-Reach Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) apabila melihat kesan banjir terburuk di Iran dalam misi kemanusiaan minggu lalu. Ketika 12 juta penduduk di Ahwaz terkesan dengan tragedi itu, tidak banyak bantuan diterima daripada masyarakat luar, menyebabkan keadaan menjadi begitu kritikal kepada mangsa yang terputus bekalan makanan akibat banjir pertengahan Mac lalu.

Pengarah I-Reach MAPIM Johan Ariff Ismail berkata, misi itu turut disertai SEJAGAT dan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, disambut dengan suasana terharu oleh penduduk kerana mereka kehilangan tempat tinggal di bulan Ramadan.

"Kami diberitahu tidak banyak bantuan antarabangsa sampai ke sini. Delegasi turut disertai sukarelawan pelajar, Jami' Abd Mustapha dari Homs, Iran yang mengadakan pertemuan awal dengan Pesuruhjaya Pertubuhan Bulan Sabit Merah Iran, Merdhad Eshraghi untuk mendapatkan laporan situasi banjir besar yang melanda 24 daerah di wilayah Ahwaz, Khuzestan.

"Mengambil langkah segera, kami menyalurkan bantuan berupa pek makanan untuk Ramadan kepada 300 keluarga Muslim Sunni di Ahwaz dan kawasan timur Iran. Mereka perlu dibantu sama seperti Muslim di tempat lain," katanya kepada Harian Metro.

Johan Ariff berkata, edaran pek berkenaan turut diselia Persatuan Bulan Sabit Merah Iran di lapangan bermula minggu lalu dan pihaknya menerima laporan dari semasa ke semasa untuk mengaktifkan bantuan mengikut keperluan di kawasan terjejas.

"Setakat ini, keperluan memang mendesak, mereka seolah-olah terkepung di sebalik sisa-sisa banjir ini, tidak boleh bergerak ke mana-mana sebaliknya hanya menunggu bantuan daripada masyarakat antarabangsa.

"Kepada yang ingin menyumbang, mereka boleh berbuat demikian dengan melayari Facebook I-Reach MAPIM. Di situ disertakan situasi terkini mengenai tragedi serta maklumat akaun," katanya.

Disiarkan pada: May 22, 2019 @ 5:57pm
d