mutakhir

Mudah, selesa... tiada masalah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

WARGA Indonesia yang ingin pulang menyambut Aidilfitri menggunakan laluan laut tidak berdepan masalah berikutan tiket untuk pulang ke kampung halaman, terutama di Batam dan Tanjung Balai Karimun, Indonesia masih tersedia.

Tinjauan Harian Metro di Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di Iskandar Puteri, mendapati masih ada banyak ruang kepada warga negara jiran itu mendapatkan tiket sepanjang Ramadan ini hingga menjelang Aidilfitri.

Bahkan pengusaha feri yang menjalankan operasi di terminal berkenaan turut menawarkan diskaun istimewa dengan harga perjalanan sehala serendah RM80 dan dua hala RM126.

Harian Metro mendapati kebanyakan warga negara jiran itu tidak berdepan masalah mendapatkan tiket, bahkan berpuas hati dengan terminal feri yang serba lengkap dan selesa.

Bahkan kemudahan bas percuma disediakan pengurusan UEM Sunrise bagi membolehkan orang ramai mengakses terminal berkenaan membabitkan perjalanan dari Terminal Larkin ke jeti itu.

Pegawai Operasi Dolphin Fast Ferry Sdn Bhd, Jacky Teo berkata, sebanyak 500 tiket disediakan kepada penumpang setiap hari untuk perjalanan ke Batam Centre.

“Jualan tiket feri ke Batam ketika ini tidak berdepan masalah dan ia boleh dibeli pada bila-bila masa untuk menaiki tiga feri disediakan.

“Setiap feri mampu memuatkan 168 orang dan jumlah penumpang dijangka semakin meningkat menjelang Aidilfitri,” katanya ditemui di terminal itu.

Katanya, pihaknya mengadakan promosi bagi mereka yang menggunakan pengangkutan air itu, termasuk cukai pelabuhan.

Pengurus Operasi Tanjung Globak Group, Sudirman Sakak berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai warga Indonesia pulang ke kampung seminggu sebelum Aidilfitri.

“Itu senario sering berlaku pada tahun lalu dan jumlahnya akan bertambah hingga terpaksa mengadakan pengangkutan feri tambahan menjelang Aidilfitri.

“Paling utama, kita berharap warga Indonesia dapat menyambut Syawal bersama keluarga di kampung dan menggunakan terminal yang selesa di sini,” katanya.

Katanya, berbanding hari biasa 500 orang, jumlah penumpang dijangka meningkat kepada 1,000 orang sehari seminggu sebelum Aidilfitri.

“Harga tiket juga ditawarkan pada harga promosi untuk ke Tanjung Balai Karimun RM81 sehala dan RM126 dua hala termasuk cukai pelabuhan,” katanya.

Sementara itu, pekerja dobi, Afizah Amran, 45, berkata dia tidak berdepan masalah untuk mendapatkan tiket feri.

Katanya, bukan saja selesa, tetapi terminal itu juga dihubungkan secara percuma menerusi penyediaan kemudahan bas dari Terminal Larkin.

“Kebetulan saya berkahwin dengan rakyat Malaysia dan saya juga bekerja di sini, jadi tidak ada masalah untuk saya pulang ke kampung menggunakan laluan laut.

“Kemudahan disediakan juga sangat selesa memudahkan perjalanan pulang di Kepulauan Metanti, Selat Panjang, Indonesia,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 12:57am
d