mutakhir

Tidur tiga jam siap tempahan

KUALA LUMPUR: Menjelang musim perayaan bukan sahaja tukang jahit baju dan pembuat kuih raya tidak menang tangan menyiapkan pesanan, tetapi situasi itu turut dirasai pembuat sampul duit raya.

Pereka sampul duit raya, Azhafizah Md Nor, 34, berkata, tahun ini beliau bersengkang mata menyiapkan hampir 7,000 sampul duit raya ditempah sejak Februari lepas berbanding 4,000 keping pada tahun lepas.

Menjalankan perniagaan itu sejak 2010 dengan bantuan suami Mohd Aidil Kamaruzzaman, 34, beliau berkata, keunikan sampul duit raya dihasilkan terletak kepada rekaannya.

“Sampul dihasilkan dengan kertas kraf dengan pelbagai corak bermotifkan hipster selain batik, songket dan monstera leaf. Selain itu, pelanggan boleh pilih yang buatan khusus dengan meletakkan perkataan pilihan dan gambar mereka di belakang sampul.

“Sehari saya mampu siapkan 200 sampul sahaja dan tidur tiga hingga empat jam sehari pada Ramadan memandangkan daripada proses gunting, lipat dan bungkus kepada pelanggan saya urus sendiri tanpa bantuan pekerja,” katanya.

Menjalankan perniagaan secara dalam talian, Azhafizah berkata, sampul duit raya dijual bermula RM6 (10 keping) menerusi laman sesawang http://www.azhafizah.com dan instagram (@azhafizahgraphic).

Seorang lagi pengusaha sampul duit raya, Izzati Che Suza, 24, berkata, beliau tidak menjangka menerima sambutan daripada pelanggan selepas hanya sekadar ‘suka-suka’ memuat naik lakaran sampul duit raya di laman sosial miliknya.

Menurutnya, beliau mula menerima pesanan pada awal Ramadan dan kini harus menguruskan masa sebaiknya bagi menyiapkan lebih 200 tempahan sampul duit raya yang bertemakan Adikku Manis Cantik Bergaya dan Perangai Raya.

“Sampul bertemakan ‘Adikku Manis Cantik Bergaya’ mempunyai lakaran watak yang menggayakan pelbagai fesyen ketika Aidilfitri manakala bagi tema Perangai Raya saya membuat rekaan suasana ketika menyambut raya.

“Saya tidak jangka dapat permintaan macam ini. Daripada proses membuat rekaan, gunting, lipat dan penghantaran semua saya buat sendiri,” katanya.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, koleksi sampul raya hipster itu dijual dengan harga RM10 (lima keping) menerusi instagram dan twitter (@kobismenghijo).

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 6:00am
d