mutakhir

Patut tak nak pergi sekolah...

Oleh Melvin Joni

PERBUATAN terkutuk warga emas terhadap anak angkatnya berusia 17 tahun terbongkar apabila dia ditahan di Kampung Temenggong Jalan Matang, Kuching semalam.

Lelaki berusia 65 tahun itu dipercayai mencabul dan merogol pelajar terbabit sehingga menyebabkan mangsa sering tidak hadir ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan 4.45 petang itu.

Beliau berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan dibuat mangsa bersama guru sekolahnya.

“Siasatan awal mendapati pelajar itu mengaku menjadi mangsa cabul dan rogol bapa angkatnya sehingga dia nekad ponteng.

“Mangsa memberitahu dia ponteng kelas untuk mengelak dihantar serta diambil suspek dari sekolah kerana suspek akan menggunakan jalan sunyi bagi melampiaskan nafsu.

“Mangsa juga memaklumkan dia dicabul kali pertama oleh suspek ketika berusia 15 tahun dan kali kedua Jumaat lalu. Mangsa juga dirogol di kawasan semak pada hari sama,” katanya.

Aidil berkata, perbuatan itu membuatkan mangsa trauma dan dia pernah memaklumkan perkara itu kepada ibu angkat yang juga kakak kepada ibu kandungnya.

“Namun, wanita itu tidak percaya dan hanya akan membuat laporan jika perbuatan suaminya (suspek) berulang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan suspek sudah direman bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 12:30pm
d