mutakhir

Takkan ada harga lantai ayam

Oleh Hairulazim Mahmud

KERAJAAN tidak akan menetapkan harga minimum penjualan ayam, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Berikutan itu katanya, peniaga ayam bebas menjual mengikut kadar munasabah tanpa penetapan harga lantai.

“Kita menggalakkan persaingan dalam kalangan peniaga walaupun ada peniaga yang merungut kerana harga itu terlalu rendah.

“Contohnya peniaga di Kelantan menjual serendah RM3.99 sekilogram dan harga itu sudah pastinya menggembirakan rakyat,” katanya selepas melancarkan wajah baharu pasar raya besar, Giant di Batu Caves, Selayang, hari ini.

Beliau mengulas desakan peniaga supaya kerajaan mengawal harga ayam dengan menetapkan harga lantai bagi mengelakkan penjualan pada kadar terlalu rendah hingga merugikan penjual.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan senarai 27 jenis barang termasuk ayam mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilaksana bermula 21 Mei hingga 19 Jun sempena Aidilfitri ini.

SHMMP dilaksanakan selama 30 hari iaitu 15 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 14 hari selepas perayaan berbanding 15 hari pelaksanaannya sebelum ini.

Berkaitan SHMMP, Saifuddin berpuas hati dengan maklum balas peniaga berkaitan penetapan harga siling itu.

Katanya, penguat kuasa KPDNHEP akan memantau bagi memastikan peniaga mematuhi skim berkenaan sepanjang penguatkuasaannya.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 12:39pm
d