mutakhir

'Faziani sudah pesan tiga jenis menu'

Oleh Siti Rohana Idris

PENGASAS kosmetik Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad, sudah menempah tiga jenis menu utama untuk dijamu tetamu, pada Aidilfitri ini.

Ibunya, Khatijah Mirdin, 67, berkata, tiga menu utama itu akan dihidangkan bagi satu hingga tiga Syawal.

“Beliau sudah menempah nasi dagang untuk raya pertama diikuti nasi air dingin dan nasi kerabu untuk hari berikutnya.

“Bagi raya keempat pula semua kaum keluarga akan memasak beramai-ramai untuk menjamu semua tetamu.

“Arwah memang seorang yang suka menjamu tetamu dan untuk Aidilfitri ini, beliau berpesan kepada semua saudara supaya berhimpun di rumahnya untuk menyambut hari raya bersama,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paloh di Tumpat, hari ini.

Khatijah yang mesra disapa sebagai umi, berkata Faziani baharu saja menyiapkan rumah agamnya itu setahun lalu sebagai tempat berkumpul semua ahli keluarga.

“Arwah anak selalu memberitahu adik-beradiknya bahawa beliau ingin mempercepatkan pembinaan kediaman yang mencecah RM10 juta itu kerana bimbang Khatijah tidak sempat tinggal bersamanya.

“Tapi, rupa-rupanya dia yang meninggalkan kami terlebih dahulu... umi reda kerana dia anak yang baik bukan sahaja kepada keluarga tapi juga kepada orang lain.

“Persiapan hari raya kali ini tetap meriah seperti sebelumnya namun sambutannya sudah berlainan, tiada kemeriahan dan agak janggal,” katanya.

Suami arwah, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42, berkata, berita mengenai pemergian isterinya turut diterima oleh beberapa kenalan mereka di Makkah yang sentiasa ditemui setiap kali menjejakkan kaki ke sana.

“Antaranya, penterjemah di Masjidil Haram yang mana setiap kali kami menunaikan umrah atau mengerjakan haji, mesti kami akan bertemu,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan semua anak selepas lima hari pemergian arwah, beliau berkata, semua masih bersedih namun agak semakin baik dan sudah mampu menerimanya sebagai takdir yang sudah tertulis.

“Saya akan meneruskan segala perancangan yang sudah disusun arwah isteri sepanjang Ramadan ini termasuk beberapa program berbuka puasa dan agihan sumbangan kepada anak yatim.

“Dalam masa terdekat ini saya akan ke sebuah madrasah di Bentong, Pahang bagi melaksanakan perancangan arwah menyampaikan sumbangan di sana,” katanya.

Berita berkaitan

Allahyarham Faziani majikan contoh

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 2:58pm
d