mutakhir

Tiga stesen LRT ditutup tiga jam, tiga hari

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA stesen LRT Laluan Sri Petaling iaitu LRT Bandaraya, LRT Sultan Ismail dan LRT PWTC akan ditutup sementara selama tiga jam bermula 6 hingga 9 pagi pada 9, 16 dan 23 Jun bagi membolehkan kerja menaik taraf landasan.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan tiga stesen berkenaan akan memulakan perkhidmatan seperti biasa pada jam 9 pagi hari terbabit.

“Sepanjang tempoh kerja naik taraf dijalankan, tren dari Ampang dan Putra Heights akan berakhir di Stesen LRT Bandaraya, manakala tren dari Sentul Timur akan berakhir di Stesen LRT PWTC.

“Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan di antara Stesen LRT Bandaraya dan Stesen LRT PWTC dengan kekerapan 15 minit, namun tertakluk kepada keadaan trafik.

“Kemudahan ini bagi memastikan pengguna yang terbabit dapat meneruskan perjalanan dengan lancar dan selesa,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pengguna LRT yang mahu menuju ke stesen LRT Sultan Ismail dinasihatkan untuk mendapatkan perkhidmatan bas percuma di Stesen LRT Bandaraya atau Stesen LRT PWTC.

“Sebahagian daripada Jalan Merpati yang terletak berdekatan stesen LRT Sultan Ismail akan ditutup tiga hari berkenaan dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi sebagai langkah keselamatan kerana terdapat peralatan berat digunakan untuk kerja naik taraf.

“Penduduk sekitar Jalan Merpati dinasihatkan untuk meletakkan kenderaan mereka di kawasan letak kereta awam yang bertentangan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwok,” katanya.

Katanya, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang dan Rapid KL Laluan Monorel beroperasi seperti biasa.

“Makluman mengenai penutupan sementara servis turut dibuat menerusi rangkaian media sosial Rapid KL, hebahan menerusi siar raya di stesen dan di dalam tren dan notis yang ditampal di stesen.

“Kakitangan tambahan akan ditempatkan di stesen pada hari berkenaan bagi membantu pengguna mendapatkan info mengenai perkhidmatan bas perantara yang disediakan.

“Pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.myrapid.com.my atau berinteraksi dengan kami menerusi Facebook dan Twitter @Myrapid,” katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 3:46pm
d