mutakhir

Penyeludup daun ketum maut kemalangan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kereta yang penuh dengan daun ketum dinaiki mereka terbabas melanggar kedai buah di Kampung Gemang, Jeli, pagi ini.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi itu, pemandu Myvi berusia 23 tahun berasal dari Pasir Mas maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Penumpang depan berusia 35 tahun yang cedera dikejarkan ke Hospital Jeli.

Pemeriksaan lanjut menemui 250 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM6,000.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, ketika kejadian anggota polis sedang membuat rondaan sebelum terserempak dengan kereta yang dalam keadaan mencurigakan di Kampung Salor.

Katanya, kereta itu terus memecut laju menghala ke Tanah Merah untuk mengelak daripada ditahan polis.

“Polis mengejar suspek sejauh 20 kilometer dan sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar kedai buah di kiri jalan.

“Pemandu kereta maut di tempat kejadian manakala penumpang hadapan cedera.

“Pemeriksaan lanjut menemui bungkusan plastik hitam berisi 250 kilogram daun ketum di tempat duduk penumpang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, polis percaya suspek melalui jalan tikus untuk mengelakkan sekatan jalan raya di Batu Melintang selepas mengambil daun ketum di negeri di utara tanah air.

“Suspek dipercayai menjadi orang upahan mengambil bekalan daun ketum untuk dibawa masuk ke negeri ini dengan menggunakan kereta sewa.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun Akta Racun 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, pemilik kedai buah, Mohamad Che Ismail, 37, berkata, ketika kejadian dia baru selesai bersahur dan bersiap untuk ke masjid.

“Secara tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi brek sebelum disusuli dentuman kuat di kedai yang terletak 10 meter dari rumah.

“Saya keluar dan terkejut sebuah kereta merempuh kedai buah sehingga roboh,” katanya yang kerugian sehingga RM3,000.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 4:09pm
d