mutakhir

Serah diri lepas kantoi curi rantai leher

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

TIDAK sampai 24 jam mencuri seutas rantai leher emas bernilai RM20,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Hiliran Masjid, Kuala Terengganu, lelaki memulangkan semula barangan itu selepas menyedari perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Malah lelaki berusia 31 tahun itu menyerah diri di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu 3.30 pagi tadi.

Menurut sumber, kehilangan itu hanya disedari pemilik kedai emas terbabit 8 malam selepas membuat pemeriksaan rakaman CCTV.

Katanya, difahamkan sebelum itu, pemilik kedai mendapati seutas rantai leher tiada di atas dulang pameran pada 4 petang semalam namun tidak mengesyaki apa-apa.

“Bagaimanapun, selepas berbuka puasa, mangsa yang curiga membuat pemeriksaan sebelum mendapati lelaki dikenali mencuri barang kemas itu.

“Difahamkan, suspek adalah antara pelanggan tetap dan pernah beberapa kali membeli barang kemas di kedai itu.

“Pemilik kedai emas itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Disiarkan pada: May 23, 2019 @ 4:15pm
d