mutakhir

Ceroboh lagi...

Oleh Fardy Bungga

TIGA bot nelayan Vietnam ditahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas dikesan menceroboh masuk ke perairan negara ini untuk mencuri hasil laut, Selasa lalu.

Ketiga-tiga bot itu ditahan 3 petang di sekitar 68 dan 76 batu nautika Barat Daya, Pulau Layang-Layang.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Muda Kamaruszaman Abu Hassan berkata, hasil pemeriksaan mendapati, semua bot beroperasi tanpa dokumen dan lesen sah.

Katanya, 30 awak-awak dan tiga tekong warga Vietnam berusia 16 hingga 55 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, semua bot itu dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan peralatan yang dilarang iaitu kaedah renjatan elektrik.

“Kaedah ini bukan saja salah di sisi undang-undang malah boleh mengancam ekosistem hidupan laut kita,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Kota Kinabalu hari ini.

Kamaruszaman berkata, semua bot berkenaan turut membawa muatan pelbagai jenis ikan 900 kilogram dipercayai hasil laut negara ini.

Katanya, bot nelayan asing berkenaan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM dan dibawa ke Jeti Maritim Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(3)(b), Seksyen 15 dan 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya.

Sementara itu, Kamaruszaman berkata, APMM memandang serius isu pencerobohan yang dilakukan bot nelayan Vietnam di perairan Malaysia.

Katanya, kerakusan nelayan asing dalam mengaut hasil laut negara tidak boleh dipandang ringan dan harus diperangi dengan sewajarnya.

“Enam bot nelayan Vietnam ditahan tahun ini iaitu tiga di Zon Maritim Kudat dan tiga di Zon Maritim Kota Kinabalu,” katanya.

Sehubungan itu, Kamaruszaman merakamkan penghargaan kepada pasukan TLDM, khususnya Markas Pemerintahan Armada Timur di atas kejayaan dan kerjasama yang diberikan.

Katanya, kerjasama erat itu perlu dalam usaha memerangi pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara yang menyebabkan kerugian mencecah nilai RM8 bilion di samping menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 11:42am
d