mutakhir

Galak syarikat bas turun tambang

Oleh Amir Abd Hamid

KEMENTERIAN Pengangkutan mengalu-alukan syarikat pengendali perkhidmatan bas ekspres mengambil langkah proaktif untuk menurunkan kadar tambang sekali gus mengurangkan kos pengguna.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan menyedari ada pengendali memohon meningkatkan harga tambang disebabkan terpaksa menanggung kos operasi namun pada masa sama ada pengendali menurunkan tambang.

Katanya, menambah kerusi di dalam bas sebagaimana kaedah syarikat penerbangan tambang murah adalah antara cara membolehkan syarikat pengendali bas menawarkan tambang lebih murah.

“Kerajaan prihatin kos sara hidup rakyat tinggi ketika ini.

“Pendekatan sudah diambil untuk tidak menaikkan kadar tambang bas ekspres yang kali terakhir disemak pada 2013, namun kerajaan turut maklum pengusaha terpaksa menanggung peningkatan kos operasi saban tahun.

“Pendekatan syarikat E-Mutiara melaksanakan inisiatif turunkan kadar tambang dengan model tambang murah seakan syarikat penerbangan Air Asia menerusi pengenalan Ekspres Musafir boleh dijadikan pilihan pengguna untuk menjimatkan wang.

“Bagaimanapun ini bukanlah paksaan (menurunkan harga tambang bas) sebab masih ada pengguna yang mahukan tempat duduk selesa dan sanggup membayarnya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan bas Ekspres Musafir di Terminal Bersepadu Selatan, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif E-Mutiara Che Ibrahim Che Ismail berkata, sebagai permulaan Ekspres Musafir menyediakan perkhidmatan bagi laluan antara Lembah Klang ke Kota Bharu, Kelantan.

“Kapasiti tempat duduk Ekspres Musafir adalah 58 orang berbanding bas premium sekitar 45 hingga 48 orang namun tambang dikenakan RM34 ke Kota Bharu dari Lembah Klang berbanding harga biasa RM44,” katanya.

Disiarkan pada: May 24, 2019 @ 12:32pm
d